USIANYA baru 22 tahun, namun Nurul Munirah Mohd Sobri diuji dengan barah payudara kira-kira setahun lalu. Hakikat itu memberi tamparan berat gadis remaja itu.
Dalam usia muda, penuntut di institusi pengajian tinggi ini mengambil keputusan untuk membuang payudara kirinya bagi mengelak kanser itu daripada terus merebak.
Pada Julai tahun lalu, beliau menjalani pembedahan berkenaan selepas mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga tersayang.
Bagaimanapun, Nurul Munirah berkata beliau positif dengan apa yang dilalui dan menganggap penderitaan itu adalah cabaran yang membina kekuatan dalam diri.
"Saya tidak pernah membayangkan saya penderita barah, apatah lagi kanser payudara yang paling ditakuti wanita. Saya akui itu detik paling sukar dalam hidup dan mujur keluarga setia di sisi.
"Paling menyentuh hati apabila keluarga terutama ibu tidak berenggang dengan saya dan beliau sumber kekuatan saya," katanya.
Kongsi pengalaman
Nurul Munirah antara 300 penderita barah payudara yang mengikuti Simposium Pendidikan Melangkaui Kehidupan Kanser Payudara anjuran Yayasan Pink Ribbon Wellness (L) di Connexion@Nexus, baru-baru-baru ini. Simposium yang dikendalikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina itu, turut menarik penyertaan 60 pengamal perubatan bagi membincangkan isu penstrukturan semula payudara, genetik, pemakanan, penghidap muda, seksual, pilihan rawatan dan gaya hidup serta kanser berulang.
Nurul Munirah berkata, hanya mereka yang senasib mampu menyelami perasaan dan beliau menyertai simposium itu kerana mahu berkongsi pengalaman dengan pesakit lain.
"Saya paling muda dan di sini kami berkongsi segala-galanya kerana hanya yang melalui keadaan itu saja akan memahami perasaan kami. Apatah lagi saya masih bujang, perjalanan hidup masih panjang," katanya yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur.
Keluarga berjanji menjaga
Anak kedua daripada empat beradik ini, agak bernasib baik kerana keluarganya sangat mengambil berat termasuk berjanji menjaganya dengan baik hingga ke akhir hayat.
"Saya menjalani pembedahan selepas Aidilfitri tahun lalu dan tidak banyak berkongsi penderitaan dengan rakan-rakan kecuali kenalan rapat.
"Jadi, keluarga yang banyak mengambil berat termasuk ramai saudara-mara dari luar Kuala Lumpur berada di sisi menyalurkan kata semangat supaya saya tabah melalui dugaan ini," katanya.
Bangkit daripada penderitaan
Seorang lagi penderita barah payudara, Lim Fung Ching, 43, pula mengatakan kanser tidak pernah mengenal umur, gaya hidup dan boleh menyerang sesiapa saja.
Peserta dari Sarawak itu mengakui mengalami tekanan perasaan kerana sukar menerima hakikat dirinya menderita barah.
"Saya seorang yang menjalani gaya hidup sihat, kerap membuat pemeriksaan sendiri payudara di rumah dan menjaga pemakanan, namun tetap diuji dengan barah.
"Saya akui hidup saya suram, nilai positif dalam diri kian menghilang hinggalah saya bertemu dengan kumpulan pesakit yang membuatkan saya kembali menjadi wanita riang dan berkeyakinan," katanya yang mempunyai cahaya mata lelaki, masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.
Lebih hargai diri
Bagi Nazura Mad Nor, 36, beliau disahkan menghidap barah itu sekitar dua tahun lalu dan mengakui keadaannya sekarang lebih membuatkan beliau menghargai kehidupan.
Beliau yang bertugas sebagai pengurus besar dalam bidang penjagaan kesihatan, mengakui lebih positif kerana kakaknya senasib dengan dirinya.
"Saya memahami apa yang dilalui kakak saya sebelum ini dan perlu menjalani hidup biasa. Jadi, saya memilih untuk terus positif kerana barah boleh dikawal.
"Saya banyak mendaftarkan diri sebagai sukarelawan supaya pengalaman mengenai barah ini dapat dikongsi dengan orang lain, supaya mereka tidak patah semangat untuk terus hidup," katanya.
Nazura yang masih bujang mengakui bernasib baik kerana memilih untuk menjalani pembedahan dan rawatan susulan, menjadikan diri positif dan melalui rutin hidup biasa selepas itu.
"Ini mungkin takdir hidup, tetapi saya tidak perlu bersedih kerana setiap penyakit ada rawatannya. Jadi, kita perlu reda dan sentiasa menjadi penyelesaiannya," katanya.