Khamis, 12 March 2015 | 12:10am
STADIUM Merdeka. - Foto Goh Thean Howe
STADIUM Merdeka. - Foto Goh Thean Howe
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.
PEMAIN skuad Kuala Lumpur ceria ketika Majlis Pelancaran Jersi musim 2015 bulan lalu.
PEMAIN skuad Kuala Lumpur ceria ketika Majlis Pelancaran Jersi musim 2015 bulan lalu.
PEMAIN skuad Kuala Lumpur memperagakan jersi baharu untuk menyahut cabaran Liga Perdana musim ini
PEMAIN skuad Kuala Lumpur memperagakan jersi baharu untuk menyahut cabaran Liga Perdana musim ini

Dilema skuad bola Kuala Lumpur

KEADAAN permukaan padang tidak rata Stadium Merdeka. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KEADAAN permukaan padang tidak rata Stadium Merdeka. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Belum pun sebulan skuad bola sepak Kuala Lumpur 'naik pangkat' kembali ke Liga Perdana, masalah isu gelanggang di laman sendiri terus mengganggu fokus mereka untuk mencipta kebangkitan.

Secara tidak langsung usaha Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di bawah pentadbiran presiden baharu, Datuk Seri Adnan Md Ikshan untuk mengembalikan kegemilangan skuad Warga Kota itu, musim ini seperti meniti masalah baharu.

Masalah timbul apabila skuad bergelar The Hawks itu hanya sempat beraksi sekali di Stadium Merdeka pada aksi sulung Liga Perdana bertemu Sabah, 6 Februari lalu sebelum 'dilarang' menggunakan terus stadium keramat itu sebagai gelanggang sendiri berikutan masalah padang yang teruk.

Tambah perit, kepincangan tanpa 'rumah sendiri' itu ditambah pula dengan kejutan berita peletakan jawatan Ramlan Askolani sebagai Setiausaha Agung KLFA, 3 Mac lalu.

"Saya pun tak tahu kenapa Ramlan letak jawatan. Mungkin dia tak dapat menahan tekanan kerana untuk menguruskan sebuah persatuan bola sepak ketika ini tidak seperti dulu. Semua perkara perlu dijaga.

"Ada beberapa calon pengganti sedang saya tapis ketika ini, saya mahu nilai dulu. Mungkin dalam minggu depan kita akan umumkan," kata Adnan ketika dihubungi BH Online, petang semalam.

Sebelum ini, skuad Kuala Lumpur ditimpa masalah selepas dikaitkan dengan isu rasuah dan mengatur perlawanan pada musim 2013 sehingga menyebabkan mereka menghuni tangga kedua tercorot Liga Perdana dan jatuh ke Liga FAM, musim lalu.

Namun, mujur hanya semusim mereka di liga divisyen tiga kebangsaan itu, Kuala Lumpur berjaya menduduki tangga kedua dan naik semula ke Liga Perdana, musim ini.

STADIUM Kuala Lumpur di Cheras. - Foto Kamarul Izzat Rahim
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras. - Foto Kamarul Izzat Rahim

Langkah Kuala Lumpur untuk kembali menjadi pasukan disegani 'diperkasa' dengan pelantikan Adnan yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan menggantikan Datuk Astaman Abdul Aziz sebagai Presiden KLFA yang baharu pada pemilihan, Ogos tahun lalu.

Berhubung masalah gelanggang sendiri yang masih belum selesai, Adnan mengakui dia masih mengharapkan Stadium Merdeka yang dilaporkan padangnya sudah pun dibaik pulih pemiliknya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan kembali dapat digunakan skuad Kuala Lumpur pada baki perlawanan musim ini.

"Saya rasa semua sudah tahu masalah ini. Memang kita masih berusaha ke arah itu. Tapi saya mahu skuad Kuala Lumpur ini kena main betul-betul, keputusan kena bagus, barulah saya pun bersemangat nak cari kemudahan untuk perlawanan.

"Kebetulan Jumaat ini kita bertemu UiTM FC dan bolehlah kita beraksi di Stadium UiTM, Shah Alam sebagai gelanggang sendiri sementara. Tapi kita akan terus berusaha, mudah-mudahan dapat venue yang cantik dan senang untuk dikunjungi penyokong.

"Saya nak dedahkan sekarang pun, benda belum 100 peratus pasti. Insya-Allah jika sudah mencapai kata putus, kita akan maklumkan. Memang kita masih berunding untuk kembali beraksi di Stadium Merdeka tetapi perlu maklum, stadium itu hak milik PNB, bukan KLFA," jelas Adnan.

STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.
STADIUM Kuala Lumpur di Cheras.

Ditanya adakah pentadbiran KLFA ketika ini sedang bermasalah, Adnan menafikannya.

"Saya tak nampak ada masalah setakat ini. Pentadbiran kita seperti biasa saja. Memang orang luar boleh cakap macam-macam, tapi hakikatnya tidaklah begitu. Yang penting semua exco perlu bekerja sama-sama, susah senang kita bersama bincang dalam mesyuarat.

"Memang semua orang pun nak sentiasa menang, pasukan lain pun begitu. Kita pun ke arah itu tetapi jika berterusan kalah saja, dah tentu tak okey juga. Kita pun sudah berbelanja agak besar musim ini, jadi mengharapkan ia membuahkan hasil positif," tegasnya.

Selepas empat perlawanan, skuad Kuala Lumpur kendalian jurulatih dari Portugal, Ricardo Formosinho kini menghuni tangga kesembilan Liga Perdana daripada 12 pasukan hasil sekali menang ke atas PKNS FC 2-1 tetapi tewas tiga kali kepada Sabah 2-0, DRB-HICOM 1-0 dan Pulau Pinang 1-0.

"Kita di pihak pengurusan sudah cuba yang terbaik dari segi gaji, kemudahan dan segalanya kepada pemain. Jadi di pihak pemain, mereka pula perlu melunaskan tanggungjawab mereka. Semua perlu saling berusaha, barulah pasukan boleh maju," ujar Adnan.

INFO

PERSATUAN BOLA SEPAK KUALA LUMPUR (KLFA)

Gelaran: Skuad Ibu Kota, City Boys, The Hawks

Diasaskan: 1974

Venue: Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

(Nota: Stadium ini sedang ditutup untuk kerja menaik taraf menjelang Sukan SEA 2017)

Kapasiti: 18,000

Status: Liga Perdana

2014: Naib juara Liga FAM (layak ke Liga Perdana 2015)

Pengurus: Datuk Izudin Ishak

Ketua jurulatih: Ricardo Formosinho (Portugal)

PENCAPAIAN LALU

Juara Piala Malaysia: 3 kali (1987, 1988, 1989)

Juara liga divisyen satu: 2 kali (1986, 1988)

Juara Piala FA: 3 kali (1993, 1994, 1999)

Juara Piala Sumbangsih: 3 kali (1988, 1995, 2000)

INFO MENARIK

* Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur membentuk satu barisan terbaik bertanding dalam saingan Liga Malaysia. Pasukan warga kota itu ditubuhkan pada 1974 dengan menggunakan nama Wilayah Persekutuan sebelum bertukar kepada Kuala Lumpur pada 1986.

* Pasukan ini menjuarai Liga Malaysia pada 1986 dan 1988 dan mencipta sejarah apabila memenangi Piala Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989 selain Piala FA Malaysia pada 1993, 1994 dan 1999.

* Kuala Lumpur turut mempunyai tradisi dengan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang iaitu Selangor. Pertemuan tersebut dikenali sebagai pertarungan pasukan Lembah Klang atau 'Klang Valley derby'.

Berita Harian X