Sabtu, 7 March 2015 | 12:07am

Risiko sedut lemak

SETIAP individu mengharapkan tubuh yang langsing. Cantik kurus menarik dan menawan.

Adakalanya keinginan itu melangkaui imaginasi hingga mengetepikan faktor risiko hingga boleh mengancam nyawa.

Risiko yang dimaksudkan itu antaranya komplikasi daripada alahan ubat ketika proses sedutan berlangsung jika dilakukan pakar tidak bertauliah.

Negara pernah dikejutkan dengan kes kematian akibat pembedahan kosmetik pada 2008 dan 2009 masing-masing membabitkan wanita berusia 44 tahun dan 30 tahun.

Dalam kes pertama, wanita berusia 44 tahun yang juga isteri orang kenamaan koma 10 bulan 18 hari sebelum meninggal dunia pada Oktober 2008.

Mangsa berhadapan risiko alahan selepas menjalani pembedahan membuang lemak bawah mata, menegangkan perut dan prosedur menyedut lemak atau lebih dikenali sebagai liposuction.

Wanita kedua pula menjalani rawatan lebih 14 kali di sebuah pusat kecantikan setahun sebelum itu. Sebelum meninggal dunia pada Mac tahun 2009 ketika mendapatkan rawatan susulan menghilangkan sakit pinggul.

Ketika dirawat, mangsa mengalami alahan teruk selepas diberi suntikan anestetik.

Malangnya pihak yang melakukan prosedur itu tidak dikenakan tindakan kerana tiada aduan daripada keluarga mangsa. Kesalahan itu bukan dianggap kecuaian pihak yang melakukannya sebaliknya salah laku dari segi etika perubatan

Apa itu prosedur liposuction?

Proses mengeluarkan lemak dalam badan menggunakan kaedah sedutan. Ketika prosedur satu tiub kecil, tajam pada hujung (kanula) dimasukkan menerusi hirisan kecil pada kulit.

Lemak disedut keluar menerusi tiub ini ketika doktor menggerakkan tiub di bahagian bawah kulit. Tiub itu mensasarkan lemak di tempat khusus untuk dibuang.

Sejak beberapa tahun lalu, teknik sedutan diperbaiki menjadikan prosedur menyedut lemak lebih selamat, mudah dan kurang menyakitkan.

Teknik terbaharu itu termasuk:

*Sedutan lemak tumesens (proses pembengkakan akibat timbunan darah dan cecair lain dalam tisu). Anestetik setempat digunakan untuk membius bahagian tubuh di mana tiub dimasukkan.

Kemudian sejumlah besar cecair anestetik mengandungi `licodaine' dan `epinefrin' disuntik ke dalam tisu lemak sebelum proses liposuction dilakukan.

Kaedah ini tidak memerlukan bius umum yang menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri sepanjang prosedur.

*Sedutan lemak dibantu ultra bunyi. Teknik ini menggunakan ultra bunyi untuk mencairkan lemak, menjadikannya mudah dikeluarkan. Teknik ini juga membantu mengeluarkan lemak dari bahagian abdomen atas, tepi dan belakang.

*Sedutan lemak dibantu sinar laser. Kaedah ini menggunakan gelombang tenaga rendah untuk mencairkan lemak yang dikeluarkan menerusi kanula kecil.

Liposuction ini tidak memerlukan pesakit bermalam di hospital kecuali jika isi padu lemak yang dikeluarkan itu banyak.

Bius setempat digunakan dalam sesetengah kes dan pesakit kemungkinan diberi untuk merehatkan diri.

Jika kawasan yang hendak dibuang lemak itu besar atau isipadu yang banyak, bius umum atau sedatif kuat dengan anestetik setempat mungkin digunakan.

Kadar maksimum keluarkan lemak

Timbalan Ketua Jabatan serta Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohammad Ali Mat Zain, berkata liposuction bukan sebenarnya prosedur menguruskan badan tetapi membentuk kontur tubuh.

Beliau berkata, jika Kalau seseorang mengatakan melakukan liposuction untuk kurus itu salah.

Sedutan lemak itu katanya, tidak boleh menjadikan seseorang itu kurus hanya membentuk tubuh supaya lebih elok.

"Prosedur ini selamat jika dilakukan oleh doktor bertauliah seperti pakar bedah plastik dan bukan pakar pembedahan am atau bidang lain.

"Proses menyedut lemak itu hanya membenarkan had maksimum enam liter lemak sahaja boleh dikeluarkan. Jika lebih dikhuatiri boleh bahayakan," katanya.

Mengulas jika liposuction tidak boleh dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai masalah kesihatan, Dr Mohammad Ali berkata, perkara itu tidak benar, seperti dimaklumkan prosedur itu perlu dilakukan pakar bertauliah.

Prosedur dipantau pakar bius

Prosedur dilaksanakan bersama pakar bius yang boleh memantau keadaan pesakit seperti pernafasan dan kadar denyutan jantung.

"Timbul masalah di sini apabila pesakit berisiko tadi menjalani prosedur mudah namun tanpa mendapatkan khidmat daripada pakar bertauliah.

"Timbul komplikasi dalam proses ini disebabkan prosedur itu dilakukan mereka tidak bertauliah dengan pusat operasi berorientasikan keuntungan semata-mata," katanya.

Beliau berkata, mana boleh jika doktor yang melakukan prosedur dan pada masa sama menjadi pakar bius.

Apabila keadaan sedemikian berlaku, katanya doktor tidak ada masa untuk memantau pesakit.

"Keadaan lebih diburukkan apabila mereka yang mendapatkan khidmat berkenaan mempunyai masalah kesihatan.

"Sebab itulah pentingnya dilakukan pakar bertauliah dengan dua pasukan perubatan," katanya.

Sedut secara berperingkat

Kata Dr Mohammad Ali lagi, prosedur menyedut lemak itu juga boleh dilakukan secara berperingkat dan bukan sekali gus ke atas pesakit berisiko jika ingin melakukan pembedahan kosmetik lain.

Beliau berkata, jika bimbang risiko komplikasi, prosedur boleh dilakukan secara berperingkat misalnya ada bahagian lemak yang perlu dikeluarkan dalam jumlah yang banyak mungkin mengambil masa lama.

Di sini katanya, peranan pakar bius itu penting bagi memastikan kestabilan pesakit.

"Satu prosedur sedutan mengambil masa lebih kurang dua jam di bahagian perut saja," katanya.

Mengenai pesakit yang mengalami alahan kepada ubat bius, beliau berkata, seharusnya sebelum prosedur pakar perlu mencatatkan sejarah pesakit termasuk jika mengalami alahan kepada ubatan termasuk bius atau antibiotik.

"Di sini, saya benar-benar tidak setuju dengan etika doktor yang tidak bertauliah menjalankan prosedur kosmetik kerana mereka tidak memikirkan risiko, bahaya, nyawa serta keselamatan pesakit.

"Memandangkan industri kecantikan berkembang masing-masing yang tidak pakar mengambil kesempatan mendapat keuntungan," katanya.

Kaji sejarah kesihatan pesakit

Mengulas kes berkaitan, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata tiada tindakan diambil ke atas doktor yang melakukannya oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana ia membabitkan soal etika dan bukan kecuaian.

"Oleh kerana MMC mempunyai bidang kuasa terhad walaupun kita ada menjalankan siasatan ketika itu namun tiada tindakan diambil," katanya.

Justeru, katanya penting bagi orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat sedemikian supaya memastikan prosedur dilakukan mereka yang bertauliah.

Jika ada individu yang ingin kurus kerana mengalami masalah obesiti dan sebagainya, kaedah menyedut lemak bukan caranya.

Mereka perlu mencari pakar yang sesuai untuk menurunkan berat badan secara sihat.

Mengenai alahan pula, Dr Ismail berkata, jika pakar bertauliah seharusnya mereka bertanya terlebih dulu sejarah pesakit.

Beliau berkata, pemeriksaan awal itu bertujuan mengenal pasti reaksi fizikal luar biasa individu atau idiosyncrasy. Reaksi itu berlaku terhadap makanan atau ubatan yang tidak diketahui puncanya, menjurus kepada berlakunya komplikasi.

Faedah lain prosedur liposuction:

Prosedur ini boleh digunakan untuk merawat sesetengah keadaan perubatan termasuk:

*Ketumbuhan lemak benigna (lipomas)

*Pembesaran luar biasa buah dada lelaki (ginekomastia atau pseudoginekomastia).

*Masalah dengan metabolisme lemak dalam tubuh (lipodistrofi).

*Peluh berlebihan di kawasan ketiak (aksilari hiperhidrosis).

Fakta

Tujuan utama proses liposuction bertujuan membentuk satu atau lebih kawasan tubuh, bukan mengurangkan berat badan.

Liposuction digunakan di kawasan "bermasalah" yang tidak berkurangan walaupun sudah mengamalkan diet dan bersenam. Kawasan itu terdiri daripada bahagian luar peha dan pinggul wanita serta di bahagian pinggang dan belakang lelaki.

Bahagian wajah, leher, abdomen, belakang, punggung, kaki dan lengan atas. Juga membabitkan kawasan biasa mendapatkan rawatan sedutan.

Liposuction bukan kaedah sesuai merawat masalah obesiti kerana tidak akan menghilangkan selulit atau rekahan kulit.

Kesan sampingan termasuk:

*Bengkak sementara, lebam, sakit dan kebas di sekitar kawasan yang dirawat.

*Rasa gatal dan parut kecil di bahagian tusukan di mana kanula dimasukkan.

*Kulit yang mengendur namun akan kembali menegang dan tertarik selepas beberapa bulan. Namun bagi sesetengah individu kulit mereka mungkin kekal kendur.

Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) menyenaraikan komplikasi berkaitan prosedur menyedut lemak antaranya:

*Jangkitan

*Embolisme (gumpalan darah)

*Tebukan viseral (luka tebukan dalam organ)

*Seroma (pengumpulan serum di kawasan tisu yang dikeluarkan)

*Pemampatan saraf dan perubahan dalam deria rasa

*Bengkak atau edema

*Nekrosis kulit (kulit mati)

*Lecur (jika menggunakan ultra bunyi)

*Ketidakseimbangan cecair

*Ketoksikan daripada anestesia

*Kematian berkaitan liposuction

Berita Harian X