Rabu, 4 March 2015 | 12:01am

Ramai hidap sindrom 'klinefelter'

KUALA LUMPUR: Satu dalam 1,000 kelahiran menghidapi sindrom 'klinefelter' iaitu kecacatan kromosom, menyebabkan mereka kelihatan normal secara luaran, namun hakikatnya cacat sistem pembiakan.

Manusia normal memiliki kromosom (penentu jantina) 46 XX bagi lelaki dan 46 XY bagi perempuan, tetapi mereka yang mengalami sindrom 'klinefelter', mewarisi lebihan satu kromosom X sama ada daripada ibu atau bapanya menjadikan 'karyotype' 47 XXY.

Mengikut kajian Barat, laman Intersex Society of North America (ISNA), sindrom klinefelter adalah ciri ketiga golongan khunsa selain ciri kromosom 46 XY DSD dan ciri kromosom 46 XX DSD.

Laman itu menyiarkan kajian oleh Anne Fausto Sterling dari Universiti Brown, menerangkan antara ciri penghidap sindrom ini ialah tiada sistem peranakan sama ada untuk lelaki atau wanita atau gagal berfungsi.

"Contohnya, bagi penghidap wanita, fizikal luaran seperti wanita tetapi mereka sebenarnya tidak memiliki sistem peranakan yang menyebabkannya tidak boleh mengandung.

"Penghidap sindrom percaya mereka normal tetapi sebenarnya tidak normal. Malah, ramai yang kahwin tetapi tidak beranak.

"Mereka tidak boleh dikategorikan sebagai mandul kerana mereka mungkin dilahirkan tanpa sistem peranakan," kata kajian ISNA itu.

ISNA turut menjelaskan, terdapat individu daripada golongan ini memiliki buah zakar yang kecil namun apabila akil baligh, mereka tidak mengeluarkan air mani.

Menurut kajian itu, ada juga khunsa yang zakarnya kelihatan normal ketika lahir tetapi selepas baligh, tidak cukup kuat untuk menegang.

"Badan pesakit seperti ini juga selalunya tidak banyak berbulu dan kadang-kala ada yang akan mengalami pembesaran buah dada.

"Lazimnya, pesakit sedemikian diberikan ubat testosteron melalui suntikan atau pil bagi membantu memulihkan mereka.

"Anak lelaki yang mempunyai kulit licin seperti perempuan mungkin mengalami sindrom ini. Biasanya apabila membesar mereka akan menghadapi kecelaruan jantina," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Genetik Perubatan Malaysia, Dr Roziana Ariffin, berkata kebanyakan golongan ini kekal dengan jantina yang dianugerahkan Ilahi sejak lahir, bagaimanapun ada segelintir khunsa yang mungkin berasa bahawa mereka tidak selesa dengan gender mereka dan perlu menerima rawatan selanjutnya daripada pakar.

"Mereka yang memiliki kecelaruan jantina termasuk golongan transgender perlu terbuka untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana jua gerakan yang mendesak pengiktirafan identiti jantina tanpa mengaitkannya dengan akidah kerana kelak ia akan merugikan diri sendiri," katanya kepada BH.

IKUTI BH PLUS ESOK PANDANGAN PAKAR PERUNDANGAN ISLAM DAN MUFTI PENTINGNYA PENGESAHAN JANTINA DALAM ISLAM BAGI ELAK GOLONGAN 'KECACATAN GENDER' DISISIH MASYARAKAT.

Berita Harian X