Isnin, 2 March 2015 | 12:02am
PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria.

PELARIAN wanita dari Yarmouk menunggu bekalan makanan di Yalda, Damsyik
PELARIAN wanita dari Yarmouk menunggu bekalan makanan di Yalda, Damsyik
SEORANG kanak-kanak pelarian Syria di Yalda, Damsyik
SEORANG kanak-kanak pelarian Syria di Yalda, Damsyik
SEORANG pelarian Palestin dari yarmouk merayu bekalan makanan untuk keluarganya yang masih terperangkap di kem pelarian itu.
SEORANG pelarian Palestin dari yarmouk merayu bekalan makanan untuk keluarganya yang masih terperangkap di kem pelarian itu.

Pelarian Yarmouk diancam kebuluran

PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria.
PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria.

DAMSYIK: Huda Muhd Eid nampak polos dan pucat ketika penulis melihat ibu muda dalam lingkungan akhir 20-an itu sedang beratur untuk menerima bantuan makanan di Yalda, tenggara Kem Yarmouk, awal bulan lalu.

Dengan pakaian yang lusuh tetapi kemas, Huda yang mempunyai dua anak memegang erat kupon bagi menebus bekalan makanan dan selimut tebal untuk keluarganya.

Huda antara ribuan pelarian Palestin, majoritinya dari Kem Yarmouk, keluar ke Yalda untuk mendapatkan bekalan makanan selepas kali terakhir mereka menerima bantuan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dua bulan lalu.

Konvoi Al Marhama yang turut disertai lima sukarelawan dari Mercy Malaysia baru tiba di Yalda selepas melepasi tiga "check points" tentera kerajaan, dengan satu daripadanya menempatkan sebuah kereta kebal dengan muncung meriamnya dihalakan ke arah Yalda.

Sebaik melepasi kawalan tentera kerajaan, konvoi penulis disambut Sheikh Salleh Al-Khatib, ketua kumpulan penentang merangkap imam Masjid Yalda yang ternyata gembira dengan kedatangan kami.

SUKARELAWAN Malaysia dalam perjalanan keluar dari Yalda, tenggara Kem Yarmouk
SUKARELAWAN Malaysia dalam perjalanan keluar dari Yalda, tenggara Kem Yarmouk

"Kami menunggu (bantuan dari luar) sudah lama. Inilah bantuan pertama (dalam tempoh tiga bulan)," katanya diterjemahkan ketua Konvoi Al Marhama, Rashad Al Baz, sebaik kami tiba di kawasan itu.

Van membawa kami berhenti di sebuah kawasan lapang di Yalda diikuti dua lori membawa 1,000 kotak bekalan makanan, minuman dan selimut tebal dengan keadaan ketika itu agak terkawal.

Ribuan pelarian dari Yarmouk, termasuk Huda, berkumpul sejak dari awal pagi menunggu bantuan itu yang sepatutnya tiba di Yalda sehari sebelumnya tetapi ditangguhkan susulan operasi ketenteraan di Douma dan Ghouta di timur Damsyik.

Media tempatan melaporkan pada 5 Februari sebanyak 135 serangan roket dan mortar dilancarkan di sekitar Damsyik.

Malah, kami turut mendengar dentuman bom serangan udara dan bedilan mortar sekitar Damsyik ketika itu dari hotel yang kami diami dan turut menempatkan petugas PBB.

Pertempuran sama turut berlaku di Kem Yarmouk yang kini dikepung tentera kerajaan selepas puak penentang, termasuk militan Jabhat Al-Nusra yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, berkubu di dalam kawasan itu sejak penghujung 2012.

Penulis yang pernah memasuki Gaza sebelum ini mendapati di Yarmouk, pelarian terperangkap dan berdepan dengan kebuluran selain situasi keselamatan tidak menentu.

Keadaan Yarmouk berbeza dengan Gaza, di mana di Palestin, akses kemanusiaan ke kawasan itu tidak berdepan dengan ancaman puak militan kecuali kerenah birokrasi di sempadan Rafah yang dikuasai Mesir atau sempadan Erez di bawah kawalan tentera Israel.

Seorang tentera kerajaan di pos kawalan laluan masuk ke Yarmouk yang mahu dikenali sebagai Jamal memberitahu tentera kerajaan memberi kebenaran kepada penduduk Yarmouk keluar dari kawasan itu, terutama pesakit dan pelajar.

Namun, seorang pelarian Palestin yang berjaya keluar dari Yarmouk mendakwa situasi tidak semudah digambarkan kerana Yarmouk kini menjadi medan pertempuran.

"Kami tiada makanan, tiada air... anak-anak kecil kami hanya minum air tercemar. Kalau kami keluar... mereka akan tembak," kata seorang pelarian wanita dalam lingkungan 40-an yang beratur di sebelah Huda.

Penulis ketika itu melihat Huda dalam keadaan tidak tenteram dan sesekali membelek helaian kertas (kupon makanan) yang dibawanya.

Seorang lagi pelarian dari Yarmouk memberitahu ada dalam kalangan pelarian yang hanya makan rumput kerana bekalan makanan terhad di dalam kem itu.

"Anak-anak kami kelaparan dan kami hanya mampu menangis," kata pelarian itu memaklumkan sebuku roti dijual pada harga 1,700 Pound Syria RM32) di kawasan berkenaan.

Difahamkan, harga sekilogram beras di Kem Yarmouk mencecah 3,000 Pound Syria (RM57) berbanding RM7 sekilogram di luar kem pelarian itu.

"Tragedi terbesar dalam konflik Syria adalah Yarmouk," kata seorang wanita memaklumkan pelarian di Yarmouk tidak menerima sebarang bantuan walaupun sepotong roti sejak tiga bulan lalu.

"Kawasan lain tidak ada masalah (berbanding Kem Pelarian Yarmouk) sebab mereka boleh keluar. Kanak-kanak, wanita (Palestin) di sini tidak boleh keluar. Mereka makan dan minum dengan anak-anak mereka, tetapi kami tidak.

"Dari pagi hingga petang saya cari sepotong roti, tapi saya tak jumpa apa-apa," katanya.

Seketika kemudian, keadaan di tempat pengedaran bantuan bertukar tegang apabila penduduk mula berebut-rebut untuk mendapat bekalan makanan walaupun tentera penentang yang bersenjatakan AK-47 ada berkawal.

PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria.
PENGAGIHAN bekalan makanan dan selimut tebal kepada 1,000 keluarga pelarian dari Yarmouk di Yalda, Damsyik, Syria.

Dalam keadaan kalut itu, penulis melihat Huda yang pada awalnya beratur bersama pelarian lain, mundar-mandir sambil menangis.

Ibu muda itu memberitahu kupon makanannya dikoyak kerana tidak mempunyai cop rasmi sebagai penerima 1,000 kotak makanan pada hari itu.

Huda seperti mana pelarian lain telah mempertaruhkan nyawanya untuk keluar dari Yarmouk bagi mencari bekalan makanan untuk keluarganya ketika suaminya terperangkap di dalam kem itu.

Ibu muda itu terus menangis dengan membuat isyarat menyuapkan tangan ke mulut sambil menunjukkan kad pelariannya kepada penulis yang tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu.

"Dia (Huda) tiada dalam senarai, tiada cop rasmi. Kita tak boleh buat apa-apa," kata Yousef, sukarelawan dari Algeria kepada penulis ketika Huda terus menangis merayu simpati sebelum perlahan-lahan berlalu dari kawasan itu dengan tangan kosong, sebelum hilang dalam ribuan pelarian terdesak.

UNRWA, dalam laporannya awal Februari lalu, memaklumkan 18,000 penduduk Yarmouk yang masih terperangkap memerlukan 400 kotak makanan sehari, namun UNRWA hanya berjaya menghantar 38 kotak makanan dalam tempoh dua bulan sejak 6 Disember lalu.

IKUTI SAMBUNGAN SIRI AKHIR ESOK

Berita Harian X