Ahad, 1 March 2015 | 12:07am
SUKARELAWAN misi Mercy Malaysia sejurus dimaklumkan mengenai keadaan keselamatan di dalam Kem Pelarian Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SUKARELAWAN misi Mercy Malaysia sejurus dimaklumkan mengenai keadaan keselamatan di dalam Kem Pelarian Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
LALUAN masuk ke kem pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
LALUAN masuk ke kem pelarian Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KEM Yarmouk yang di kawal tentera kerajaan. - Foto Syed Azwan Syed Ali
KEM Yarmouk yang di kawal tentera kerajaan. - Foto Syed Azwan Syed Ali
BANTUAN terpaksa dipunggah balik ke dalam lori selepas berlakunya pertempuran di Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
BANTUAN terpaksa dipunggah balik ke dalam lori selepas berlakunya pertempuran di Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
AMBULANS bersiap sedia di depan kem pelarian Al Yarmouk untuk sebarang kemungkinan sebelum misi bantuan di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
AMBULANS bersiap sedia di depan kem pelarian Al Yarmouk untuk sebarang kemungkinan sebelum misi bantuan di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Rintihan di Kem Pelarian Yarmouk

SUKARELAWAN pindah barang dalam lori selepas tidak dibenar masuk ke Kem Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SUKARELAWAN pindah barang dalam lori selepas tidak dibenar masuk ke Kem Yarmouk di Damsyik, Syria. - Foto Syed Azwan Syed Ali

DAMSYIK: Merai Mazen Aresha, 21, menaruh harapan tinggi untuk pulang ke rumahnya di Kem Pelarian Yarmouk, sekalipun hasrat itu mungkin berkubur tanpa nisan.

Bulan lalu, genap 26 bulan, anak muda itu keluar dari Yarmouk selepas kawasan kejiranan di selatan ibu kota Damsyik itu bertukar menjadi medan pertempuran di antara tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang.

Hujung 2012 menyaksikan pertempuran dahsyat tercetus di antara tentera kerajaan yang mengepung kawasan itu dengan kumpulan penentang yang berkubu di dalam Kem Yarmouk.

Ketika itu 180,000 pelarian Palestin yang menetap di kawasan itu, keluar menyelamatkan diri dan meninggalkan harta benda mereka.

"Keluarga saya antara yang terawal keluar dari Yarmouk, keadaan amat teruk...Kami tidak kenal siapa kawan atau lawan," katanya.

Merai yang ditemui penulis ketika misi kemanusiaan Mercy Malaysia di Damsyik bulan lalu berkata kebanyakan pelarian lari keluar sehelai sepinggang dari Yarmouk untuk menyelamatkan diri.

"Ada juga keluarga yang terpisah, ada anaknya saja berjaya keluar, tetapi ayah dan ibunya di dalam...keadaan amat teruk," katanya kelihatan sugul.

"Sampai sekarang ada lagi keluarga yang terpisah...selepas dua tahun," kata seorang rakan Merai, Muhammad, mencelah perbualan.

Merai dan Muhammad adalah sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mengangkut 1,000 kotak bekalan makanan dan selimut tebal sumbangan Mercy Malaysia untuk pelarian di Yarmouk.

Ketika itu, 18,000 pelarian Palestin dilaporkan terperangkap di dalam Yarmouk dan kali terakhir mereka mendapat bekalan makanan pada 6 Disember 2014, kira-kira dua bulan sebelum itu.

Seperti Merai, Muhammad yang dilahirkan di Yarmouk merasa amat hiba di atas apa yang menimpa kem pelarian itu sejak konflik di Syria meletus.

BANTUAN siap sedia di hantar ke kem di Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
BANTUAN siap sedia di hantar ke kem di Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali

"Kami (pelarian Palestin) terheret dalam konflik ini," kata Muhammad yang bergantung penuh kepada bantuan asing, termasuk dari Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), untuk hidup.

Yarmouk adalah kawasan kejiranan seluas 2.1 kilometer persegi di selatan Damsyik dan didiami pelarian Palestin sejak 1957. Terdapat papan tanda tertulis "Mukhayyan al Yarmouk", bermaksud "Kem Yarmouk" di jalan menuju ke kawasan itu.

Kemuncak krisis kemanusiaan di Yarmouk awal tahun lalu menyaksikan pelarian di situ dilaporkan terpaksa memakan kucing untuk terus hidup.

Musim sejuk yang melanda Syria awal tahun ini pula menyaksikan ada dalam kalangan bayi dan kanak-kanak mati akibat kesejukan.

Pengarah Jabatan Pelarian di Syria, Ali Mustafa memberitahu, pelarian menerima bantuan makanan setiap tiga bulan selain bantuan kewangan 10,000 Syrian Pound (kira-kira RM192) seorang setiap tiga bulan, bagaimanapun ia sering tergendala berikutan pertempuran tercetus.

Konflik Syria bermula dengan bantahan sivil ke atas pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad, sejak Mac 2011 yang bertitik tolak dari Kebangkitan Arab di Tunisia, Libya dan Mesir.

Ia kemudian merebak ke seluruh negara itu dan bertukar menjadi penentangan bersenjata yang berterusan sehingga ke hari ini dengan angka korban melebihi 220,000 dan lebih sejuta cedera.

Konflik itu juga menyebabkan Syria menjadi negara pengeluar pelarian terbesar dunia selepas 3.3 juta warganya menjadi pelarian di negara jiran di Lubnan, Jordan, Turki, Mesir dan Iraq.

Lebih 7.6 juta pula dilaporkan menjadi pelarian dalaman.

Turut terjejas lebih setengah juta pelarian Palestin yang menetap di Syria sejak 1948, termasuk pelarian di Yarmouk yang disifatkan antara kawasan sensitif di Damsyik yang dikuasai tentera kerajaan.

SEORANG kanak-kanak Syria memunggah air untuk kegunaan keluarganya di hadapan Kem Pelarian Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali
SEORANG kanak-kanak Syria memunggah air untuk kegunaan keluarganya di hadapan Kem Pelarian Yarmouk. - Foto Syed Azwan Syed Ali

Media antarabangsa melaporkan pertempuran di Yarmouk menggambarkan "keadaan pertempuran" di seluruh Syria dan hakikat itu dirasai lima sukarelawan Mercy Malaysia, ketika kami cuba menghantar bantuan makanan dan keperluan musim sejuk ke kawasan itu awal Februari lalu.

Cubaan pertama kami masuk ke Yarmouk pada 1 Februari lalu terpaksa dibatalkan selepas insiden kecelakaan membabitkan letupan sebuah bas di Souk Al Hamidiyeh di tengah-tengah Damsyik menyebabkan tujuh terkorban dan 20 cedera.

Ketika itu semua sukarelawan termasuk penulis sudah mendaftarkan nama di laluan masuk ke Yarmouk yang dikawal ketat tentera kerajaan.

"Hati-hati dengan kamera kamu... hati-hati dengan penembak tepat," kata seorang anggota tentera memberi amaran kepada penulis supaya tidak mengeluarkan kamera dan mengambil gambar di dalam kem pelarian itu.

Keadaan di laluan masuk Yarmouk amat menggerunkan dengan kelibat penembak tepat yang kelihatan di dalam bangunan tinggi di situ, selain keadaan lorong-lorong sempit yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan dan bangunan musnah dengan kesan tembakan dan bedilan senjata berat.

Esoknya, cubaan kami untuk menghantar bantuan kemanusiaan terbantut selepas pertempuran tercetus di antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang.

Turut bersedia memasuki Yarmouk ketika itu adalah wakil media tempatan yang kelihatan memakai topi keledar khas dan baju kalis peluru yang tertera dengan perkataan "PRESS".

Ketika insiden itu, sukarelawan Malaysia berada di lokasi "selamat" di dalam Kem Yarmouk dan menunggu pelarian keluar menerima bantuan selepas kami melalui kira-kira 300 meter lorong-lorong sempit di laluan masuk kem pelarian itu.

Kurang lima minit di lokasi itu, kedengaran bunyi tembakan dilepaskan sebelum kami berlindung di dalam sebuah bangunan kosong berdekatan, sehingga keadaan semakin panik dengan bunyi letupan senjata berat semakin dekat dan kami diarah keluar dari Yarmouk.

"Inilah hakikat di Yarmouk... tidak boleh masuk, tidak boleh keluar," kata Haj Mazen, seorang pelarian Palestin ketika ditemui di luar Yarmouk selepas kami menyelamatkan diri.

IKUTI SAMBUNGAN KISAH INI DALAM SIRI KEDUA DI BH PLUS ESOK

Berita Harian X