Khamis, 17 Januari 2019 | 12:55pm

Hanya 100 pantau 14,000 tapak projek

PUTRAJAYA: Lebih 14,000 tapak pembinaan aktif di seluruh negara terdedah ‘perangkap maut’ apabila jumlah penguat kuasa yang seharusnya melakukan pemantauan terlalu kecil.

Agensi yang ditugaskan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hanya mempunyai kira-kira 100 pegawai di seluruh negara, sekali gus berdepan kekangan serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Jumlah pegawai JKKP paling ramai adalah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, masing-masing 11 orang; diikuti Johor (10); Terengganu (9); tujuh di Pahang, Melaka dan Perak; Sabah (6); lima di Kelantan dan Negeri Sembilan; empat di Kedah dan Sarawak; Perlis (3) dan Labuan (2).

Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) JKKP, Zailee Dollah, ketika mendedahkannya berkata jumlah itu menyaksikan seorang pegawai jabatan terbabit terpaksa membuat pemantauan ke atas lebih 100 tapak pembinaan atau pada nisbah 1:140.


Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) JKKP, Zailee Dollah. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Risiko kemalangan

Katanya, risiko kemalangan di tapak pembinaan lebih terdedah apabila pekerja yang digajikan adalah dari kalangan warga asing, kebanyakannya secara ‘tangkap muat,’ tiada kemahiran asas untuk kerja tertentu serta bergantung sepenuhnya kepada arahan.

“Selain tidak cekap, kekangan bahasa menyebabkan pekerja asing sukar memahami arahan dan meletakkan mereka dalam risiko tinggi, terbabit kemalangan di tempat kerja, termasuk yang membawa maut,” katanya kepada BH.

Statistik JKKP menunjukkan, 112 daripada 183 kes kemalangan maut yang direkodkan di tapak pembinaan seluruh negara sepanjang tahun lalu, membabitkan pekerja asing berbanding hanya 71 pekerja warga tempatan.

Secara keseluruhan, jumlah kemalangan di tapak pembinaan pada 2016 ialah 4,269 kes dan 4,266 kes lagi pada 2017.

Pekerja tempatan terbabit kemalangan pada 2016 pula 3,692 orang sebelum meningkat kepada 3,866 tahun lalu.

Jumlah pekerja asing terbabit kemalangan di tapak pembinaan di seluruh negara pada 2017 pula seramai 400 orang.

Zailee berkata, ada majikan memandang remeh aspek keselamatan, khususnya gagal menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja asing, dipercayai bagi menjimatkan kos.

“PPE meliputi pakaian dan peralatan tambahan atau aksesori yang digunakan untuk melindungi pekerja daripada bahaya di tempat kerja.

“Tanpa PPE atau penggunaan PPE yang rosak, pekerja dalam keadaan berisiko.

“Sebab itu kita perlukan kerjasama semua pihak seperti pegawai keselamatan dan kesihatan, penyelia keselamatan tapak pembinaan, pengendali perancah, operator kren dan lain-lain untuk memastikan isu keselamatan ini dapat dikawal dan langkah pencegahan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Katanya, majikan yang gagal mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, selain Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Denda rendah

Zailee bagaimanapun mengakui, kadar denda rendah mungkin menyebabkan kurangnya dorongan majikan untuk menyediakan langkah pencegahan, serta kawalan keselamatan seperti sepatutnya.

Katanya, JKKP memperkenalkan garis panduan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri (OSHCIM), yang memberi perhatian terhadap segenap aspek keselamatan yang perlu dipatuhi pemaju, kontraktor dan konsultan.

“Menerusi OSHCIM, langkah keselamatan sudah diambil pada peringkat awal sebelum sesuatu projek diluluskan. Contohnya, reka bentuk selamat tingkap bangunan pencakar langit supaya mudah dicuci tanpa risiko keselamatan yang tinggi,” katanya.

Katanya, JKKP juga sedang meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, bagi memperkasakan perundangan berkaitan, selain meningkatkan jumlah denda dan tanggungjawab menangani isu keselamatan di tapak pembinaan.

“Ia bertujuan memberi pengajaran kepada semua pihak supaya mengutamakan aspek keselamatan di tapak pembinaan,” katanya.

Berita Harian X