Isnin, 10 September 2018 | 7:30am
PAKAR estetik jadian menggunakan WhatsApp untuk temu janji dengan pelanggan.

Tangan sakit selepas lebih lima kali disuntik

KUALA LUMPUR: Lebih lima kali tersalah suntik antara pengalaman menyakitkan dilalui wartawan ketika mencuba suntikan pemutihan di sebuah kondominium di ibu negara.

Mengenakan caj RM200, prosedur itu dikendalikan seorang gadis yang mendakwa pernah menjadi jururawat di sebuah hospital di Jalan Tun Razak, di sini.

Ketika rawatan, gadis berusia lingkungan 20-an itu gagal mencari urat darah untuk melakukan suntikan, menyebabkan wartawan mengalami kesakitan pada bahagian lengan selepas lebih lima kali disuntik.

Menyedari kesilapan, gadis itu menyalahkan wartawan dengan mendakwa kurang bersukan menyebabkan urat pada lengan sukar timbul. Dia kemudian dibantu pekerja lain sehingga berjaya melakukan suntikan pada bahagian belakang tangan.

Ketika rawatan, wartawan terkejut melihat satu gelembung udara pada wayar drip dan bertanyakan sama ada ia bahaya, sebelum petugas memaklumkan ia perkara biasa.

Produk pemutihan palsu

Menurut pekerja itu, proses pemutihan secara drip tidak akan memberi kesan secara langsung, sebaliknya wartawan harus kembali sekurang-kurangnya lima kali lagi atau mencuba produk baharu berharga kira-kira RM900 yang didakwa lebih berkesan.

Wartawan bertanya mengapa produk cecair pemutihan kulit yang dijual menerusi Instagram lebih murah, iaitu RM50 saja sebelum petugas di kondominium itu mendakwa ia produk palsu yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan.

Selain pemutihan kulit, rawatan lain turut ditawarkan di kondominium berkenaan, termasuk suntikan menggunakan darah sendiri (plasenta), derma 'filler' yang dilakukan pada payu dara, punggung dan vagina serta kaedah rawatan lain dikenali sebagai 'hyaron', 'lipo lab' dan 'biotine'.

Penyiasatan diteruskan di satu lagi kondominium mewah, namun wartawan tidak dilayan kerana pemiliknya hanya menemui pelanggan secara temu janji.

Dakwa bekas jururawat

Bagaimanapun, selepas memujuk dan memberi alasan datang dari jauh selepas diperkenalkan rakan, wartawan dibenar masuk dan menemui seorang wanita berusia 37 tahun yang menguruskan premis berkenaan.

Wanita itu juga mendakwa dia adalah bekas jururawat di klinik estetik terkemuka sebelum membuka pusat kecantikan sendiri kira-kira dua tahun lalu.

Penyamaran BH menjangkau beberapa lokasi lain termasuk sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Rawang. Hasilnya kebanyakan khidmat kecantikan didapati ditawarkan di banglo, bukan seperti perniagaan spa kecantikan biasa yang lazimnya beroperasi di lot kedai.

Mereka juga tidak menerima pelanggan sewenang-wenangnya melainkan secara temu janji melalui WhatsApp sebelum alamat lengkap diberikan.

Menerusi semakan, Instagram adalah saluran paling popular untuk menawarkan khidmat berkenaan serta menjual pelbagai produk dan rawatan kecantikan, termasuk proses pembesaran payu dara dan punggung.

Wartawan berjaya mendapatkan temu janji dengan seorang 'pakar jadian' bagi tujuan pembesaran punggung dan dimaklumkan prosedur itu dilakukan secara suntikan membabitkan satu liter 'filler' berharga RM3,700, namun untuk kesan lebih mantap, dia menyarankan suntikan dua liter 'filler'.

Ditanya risiko rawatan berkenaan, wanita itu meyakinkan wartawan bahawa suntikan terbabit tidak berbahaya berbanding amalan memakan pil.

Berita Harian X