Ahad, 9 September 2018 | 7:00am

Tipu status pakar, pusat kecantikan kaut untung

KUALA LUMPUR: Rawatan kecantikan atau estetik ditawarkan di kebanyakan pusat kecantikan di negara ini, termasuk spa terkemuka, diragui berikutan majoritinya didakwa cenderung bermotifkan keuntungan.

Selain memperdaya mangsa dengan mendakwa kononnya rawatan kecantikan yang ditawarkan mereka dikendalikan pakar, status ketulenan bahan digunakan dalam rawatan juga dipersoalkan.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif UiTM Private Specialist Centre, Dr Wan Syazli Rodzaian Ahmad Kamal, mengakui aliran pusat kecantikan mengiklankan perkhidmatan sebagai pakar kecantikan atau estetik, namun prosedur rawatan tidak dilakukan pakar bertauliah sebaliknya petugas biasa.

Malah, katanya, ada juga pusat kecantikan ternama yang hanya melantik pakar estetik sebagai perunding, sedangkan segala urusan rawatan diserahkan kepada petugas biasa yang tidak bertauliah.

"Situasi itu berisiko kerana rawatan dilakukan individu tak bertauliah mampu mencetus kesan sampingan kepada pelanggan. Petugas yang akhirnya mengaku sebagai perunding kecantikan ini akan melakukan setiap prosedur rawatan, termasuk suntikan serta bius pesakit," katanya.

Mengenai penggunaan bahan diragui, Dr Wan Syazli memberi contoh penggunaan laser membuang kedutan atau tompok pada wajah yang biasa dilakukan di spa atau pusat rawatan kecantikan.

Kulit terbakar, parut kekal

"Adakah benar laser yang digunakan atau sekadar nyalaan lampu tertentu. Penggunaan laser memerlukan indikasi tertentu oleh pakar perubatan kerana ia mampu mendatangkan kesan buruk jika tersalah guna seperti kulit terbakar, parut kekal serta amat bahaya kepada organ sensitif seperti mata.

"Mengikut prosedur, hanya pakar estetik bertauliah dibenar menjalankan rawatan menggunakan laser, sebaliknya di pusat kecantikan hari ini, ia dikendalikan petugas atau perunding kecantikan," katanya.

Beliau juga mendakwa, suntikan kecantikan kolagen atau filler murah ditawarkan pusat kecantikan mungkin penipuan kerana rawatan itu kos tinggi dan kemungkinan besar, yang disuntik adalah silikon atau bahan lain tidak diketahui pelanggan yang boleh mencetus risiko dengan kesan cepat atau lambat.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati pusat kecantikan ketika ini mula berani menawarkan pembedahan kecantikan walaupun prosedur itu sebenarnya hanya boleh dilakukan pakar estetik yang mempunyai lesen Chapter 3 dalam persekitaran selamat dan lengkap.

Apa yang membimbangkan, ada kes pusat kecantikan beroperasi hanya di rumah kedai dan ia tidak selamat untuk mengendalikan proses surgeri seperti pembesaran buah dada dan menyedut lemak.

Berita Harian X