Ahad, 25 September 2022 | 8:54pm
Notis peringatan yang dikeluarkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) di Machang yang bertajuk ‘Makluman Risiko Culik’ tular di media sosial.
Notis peringatan yang dikeluarkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) di Machang yang bertajuk ‘Makluman Risiko Culik’ tular di media sosial.

Sekolah di Kelantan beri peringatan kes culik

KOTA BHARU: Sekolah di Kelantan memberi peringatan kepada ibu bapa berhubung kes penculikan.

Ada sekolah mengeluarkan arahan supaya mengambil anak awal mengikut masa ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Terdapat sekolah mengeluarkan surat peringatan kepada ibu bapa mulai hari ini, manakala terdapat juga sekolah memuat naik arahan terbabit dalam kumpulan whatsApp.

Terdahulu, tular notis peringatan yang dikeluarkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) di Machang yang bertajuk 'Makluman Risiko Culik'.

Menerusi notis berkenaan, ibu bapa dan penjaga diminta mengambil tindakan sepatutnya sebagaimana berikut iaitu menghantar dan mengambil anak mengikut ketetapan waktu, sentiasa memberi ingatan dan pesanan kepada anak-anak serta bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani sesuatu kes yang berlaku.

Peringatan itu dikeluarkan susulan sejak kebelakangan ini sering berlaku kejadian culik dalam kalangan murid sekolah.

Sementara itu, arahan dikeluarkan SK di Kota Bharu pula meminta ibu bapa memgambil anak awal iaitu jam 4 petang pada Ahad hingga Rabu dan jam 2 petang pada Khamis.

Arahan itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak-anak dan ibu bapa juga diminta berpesan kepada anak supaya tidak mengikut orang yang tidak dikenali.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), ketika dihubungi mengesahkan terdapat sekolah yang mengeluarkan peringatan berkenaan.

Katanya, notis peringatan yang dikeluarkan itu adalah inisiatif sekolah masing-masing.

Berita Harian X