Selasa, 30 Ogos 2022 | 2:42pm

Derma darah untuk selamatkan nyawa, naikkan semangat patriotik

KOTA BHARU: Berpegang kepada fakta bahawa satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa mendorong seorang anggota bomba, Marzuki Mohd Sikri, secara rela menderma darah, sejak 15 tahun lalu.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu itu menderma darah sekurang-kurangnya dua kali setahun dan setiap kali program dibuat oleh jabatan atau balai, beliau pasti tidak melepaskan peluang.

Marzuki, 38, berkata menderma darah dianggap ada saling kaitan dengan tugas kebombaan iaitu menyelamat masyarakat dan atas kesedaran itulah, amalan berkenaan akan diteruskan selagi sihat.

"Jika ada program sebegini (derma darah), pasti saya menjadi antara peserta terawal kerana hanya dengan cara ini saya mampu membantu orang lain yang memerlukan.

"Pernah ketika bertugas di Johor Bahru, suatu ketika dulu, saya dan beberapa rakan setugas lain sepakat menderma darah apabila anak kepada seorang anggota bomba terbabit nahas jalan raya.

"Jika menyelamat orang ramai dalam penugasan bomba adalah tanggungjawab kami dalam pasukan, biarlah menderma darah sebegini menjadi simbol perjuangan saya secara peribadi," katanya ketika ditemui di BBP Kota Bharu, sebaik selesai menderma darah.

Marzuki antara 43 anggota dari balai terbabit yang sukarela menderma darah sempena kemerdekaan yang dianjurkan balai itu bersama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua BBP Kota Bharu, Zukeri Shafie, berkata program kerjasama itu sudah memasuki tahun kedua penganjuran dan kali ini mereka adakan sempena menghayati Hari Kemerdekaan bagi menaikkan semangat anggota.

"Program ini adalah inisiatif balai dan saya sasarkan hanya 30 anggota yang mendaftar. Bagaimanapun hari ini seramai 43 orang yang keluar menderma darah termasuk beberapa anggota yang bercuti tetapi turut datang memberikan sokongan.

"Dengan menderma darah sebegini, kami dapat jalankan tanggungjawab di luar kebiasaan dan berharap dapat memberi manfaat kepada ramai yang memerlukan," katanya.

Bagi penderma universal iaitu darah jenis O, Rohazarizam Othman, 41, peluang penganjuran derma darah itu diambil untuk memberi sedikit jasa lebih-lebih lagi sempena Hari Kemerdekaan.

Membayangkan banyak titisan darah daripada pejuang tanah air terdahulu yang terkorban, anggota bomba yang berasal dari Kangar, Perlis itu membandingkan sumbangan darahnya itu tidak seberapa.

"Perjuangan pejuang negara, terutama mereka yang dalam bidang keselamatan jauh lebih besar berbanding apa yang kami lakukan sekarang. Lagipun menderma darah juga dapat meningkatkan tahap kesihatan," katanya.

Sebahagian daripada 43 anggota BBP Kota Bharu yang menderma darah dalam program derma darah anjuran balai itu dengan HUSM Kubang Kerian sempena ambang merdeka. NSTP/Siti Rohana Idris
Sebahagian daripada 43 anggota BBP Kota Bharu yang menderma darah dalam program derma darah anjuran balai itu dengan HUSM Kubang Kerian sempena ambang merdeka. NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X