Sabtu, 13 Ogos 2022 | 6:59pm

Kelantan pulihara kesan tinggalan merdeka, perang dunia kedua

PASIR PUTEH: Kelantan akan terus memulihara kesan tinggalan sejarah berkaitan kemerdekaan dan perang dunia kedua yang terdapat di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi seperti kubu yang dibina tentera British di Kuala Gel, Bachok dan beberapa tapak warisan lain di semua jajahan.

Katanya, selain memulihara produk bersifat kemerdekaan dan perang dunia kedua itu, lokasi itu turut dijadikan tempat pelancongan baharu di Kelantan bagi menarik minat pelancong.

"Kubu ini kita baik pulih dengan kerjasama Jabatan Muzium negeri dan sebarang produk yang ada kena mengena sifat merdeka, perang dunia kedua, kita akan kekalkan warisan ini.

"Ini sangat penting supaya rakyat kenal sejarah," katanya selepas merasmikan Bulan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Parlimen Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 pengunjung di sekitar Pasir Puteh hadir menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti rebana kertuk, dikir barat dan pameran barangan antik serta jualan industri kecil dan sederhana (IKS).

Md Anizam berkata, selain pemuliharaan warisan, nama tokoh turut diabadikan di tempat asal mereka seperti bandar Pasir Puteh yang akan diwartakan sebagai bandar Tok Janggut.

Katanya, pihak berkuasa tempatan membuat permohonan itu di peringkat jajahan dan akan diangkat ke peringkat EXCO untuk proses mewartakan nama berkenaan pada peringkat kerajaan negeri.

"Seperti hari ini (bulan budaya dan kesenian peringkat Parlimen Pasir Puteh), sudah tentu akan dijadikan produk pelancongan.

"Gelanggang Seni (tempat kebudayaan) kita masih baru bermula selepas pandemik dan dengan adanya penganjuran program itu, kita dapat menarik pelancong ke Kelantan," katanya.

Beliau berkata, ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri bagi menyasarkan kedatangan 500,000 hingga sejuta pelancong pada tahun ini.

Sementara itu, Nik Zawawi berkata, sepanjang sebulan, pelbagai acara kesenian dan kebudayaan berkonsepkan pertandingan serta persembahan akan diteruskan di setiap DUN di Pasir Puteh.

Beliau berkata, antaranya, pertandingan kambing jangok (cantik), suara burung, pertandingan ayam serama dan pertunjukan kereta serta motosikal klasik.

"Melalui program sebegini kita harap dapat satukan semua bangsa dan agama, orang muda dan tua supaya jalin hubungan erat seperti kehidupan di era 70-an dulu tanpa rasa terasing," katanya.

Md Anizam (kiri) melihat basikal klasik sempena Bulan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Parlimen Pasir Puteh hari ini. NSTP/Nor Amalina Alias.
Md Anizam (kiri) melihat basikal klasik sempena Bulan Kesenian dan Kebudayaan Peringkat Parlimen Pasir Puteh hari ini. NSTP/Nor Amalina Alias.
Berita Harian X