Khamis, 23 Jun 2022 | 9:15pm
Penerbangan pertama dari Sarawak dijadual berlepas pada 10.55 malam dari Lapangan Antarabangsa Kuching (KIA) menerusi penerbangan Malaysia Airline. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Penerbangan pertama dari Sarawak dijadual berlepas pada 10.55 malam dari Lapangan Antarabangsa Kuching (KIA) menerusi penerbangan Malaysia Airline. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Kumpulan pertama bakal jemaah haji Sarawak berlepas ke Tanah Suci

KUCHING: Ucapan syukur Alhamdulillah berulang kali disebut Ahmad Aminuddin Shafiee, 28, ketika menunggu penerbangan untuk berlepas ke Tanah Suci, malam ini.

Ahmad Aminuddin, berkata beliau bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan Rukun Islam Kelima itu pada usia muda.

"Syukur Alhamdulillah, ini rezeki dan saya berterima kasih kepada ibu bapa kerana mendaftarkan nama saya untuk mengerjakan ibadah haji sejak saya kecil.

"Lebih menggembirakan, saya akan pergi bersama empat lagi ahli keluarga yang lain," katanya yang berasal Semariang, di sini, ketika ditemui di Hotel Raia di sini.

Abang iparnya, Mohd Hafiz Wahab, 39, pula berkata pada mulanya beliau seolah-olah tidak percaya apabila namanya tersenarai untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

"Saya memang tidak menyangka akan terpilih. Memang bersyukur apatah lagi dapat pergi bersama ahli keluarga lain termasuk isteri, Anarulhuda Shafiee.

"Saya menganggap ini ketentuan Allah kerana peluang untuk mengerjakan haji bukannya mudah dan ia harus disyukuri," katanya.

Ahmad Aminuddin Shafiee (kiri), Mohd Hafiz Wahab dan Siti Zainab Boharis. Foto NSTP/ NADIM BOKHARI
Ahmad Aminuddin Shafiee (kiri), Mohd Hafiz Wahab dan Siti Zainab Boharis. Foto NSTP/ NADIM BOKHARI

Sementara itu, Siti Zainab Boharis, 60, dari Taman Sukma, Petra Jaya pula berkata, penantian selama ini berbaloi selepas tiga tahun umat Islam dari Sarawak tidak dapat mengerjakan ibadah itu susulan pandemik COVID-19.

"Memang amat gembira dan bersyukur. Sudah lama saya berdoa agar dimakbulkan untuk menunaikan ibadah ini dan kini semuanya semakin hampir menjadi kenyataan," katanya.

Mereka adalah antara 142 bakal jemaah haji dari Sarawak yang akan menaiki penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Jeddah pada jam 10.55 malam ini.

Kali terakhir jemaah haji dari Sarawak menunaikan ibadah itu ialah pada tahun 2019.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan Sri Dayang Juma'ani Tuanku Bujang, hadir mengucapkan selamat mengerjakan ibadah haji kepada bakal jemaah itu di Hotel Raia, malam ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan), menghadiri Majlis 142, bakal Jemaah Haji Sarawak berlepas ke Tanah Suci. Penerbangan pertama dari Sarawak dijadual berlepas pada 10.55 malam dari Lapangan Antarabangsa Kuching (KIA) menerusi penerbangan Malaysia Airline. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Abang Johari berkata, beliau bersyukur apabila seramai 344 rakyat Sarawak dipilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini dan berharap tahun depan jumlah akan ditambah berikutan situasi COVID-19 global yang semakin reda.

Esok seramai 202 lagi bakal jemaah haji Sarawak akan berlepas ke Tanah Suci menaiki penerbangan terus ke Jeddah dari LTAK.

Berita Harian X