Khamis, 23 Jun 2022 | 5:23pm

Kerajaan Terengganu kecualikan caj pemajuan pembangunan RMM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersetuju untuk mengecualikan bayaran bagi pembangunan secara pengswastaan Rumah Mampu Milik (RMM) di atas tanah milik kerajaan negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed, berkata pengecualian bayaran itu bagi membantu menggalakkan pemain industri dalam usaha menyediakan lebih banyak RMM jenis A dan B kepada rakyat.

Katanya, pengecualian caj pemajuan bagi pembangunan secara penswastaan itu tertakluk kepada jumlah unit dan keluasan tanah.

"Kerajaan memutuskan memberi pengecualian caj pemajuan kepada pemain industri itu sebagai tanda keprihatinan selain membantu membina lebih banyak rumah kepada rakyat.

"Pengecualian caj itu juga bagi membantu mengurangkan kos kenaikan harga bahan binaan dihadapi pemain industri berkenaan," katanya kepada media selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Ekspo Hartanah Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad negeri (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah @ Perumahan (REHDA) negeri, Mohamad Hishamudin Muda.

Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar berkata, kerajaan negeri juga meminta institusi kewangan memberi kelonggaran kelulusan pinjaman perumahan kepada lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Katanya, masalah kelulusan pinjaman perumahan adalah isu besar dihadapi oleh pemain industri di sektor hartanah.

"Kerajaan negeri juga meminta pemaju perumahan membuat kajian pasaran dengan lebih teliti sebelum melaksanakan projek pembinaan kediaman.

"Kajian pasaran sebelum melaksanakan projek bertujuan memastikan harga dan kediaman menepati kehendak pasaran," katanya.

Mengenai projek RMM di seluruh negeri, Ahmad Shah berkata, sebanyak 1,657 unit RMM yang siap dibina sudah diagihkan manakala 9,388 unit dalam proses pembinaan.

"Sebanyak 5,586 unit RMM masih perancangan pelaksanaan dan kediaman jenis A akan dijual pada harga tidak melebihi RM80,000 seunit manakala RM180,000 seunit untuk kediaman jenis B," katanya.

Ahmad Shah (kiri) melihat replika rumah dipamer selepas merasmikan Ekspo Hartanah Terengganu, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar
Ahmad Shah (kiri) melihat replika rumah dipamer selepas merasmikan Ekspo Hartanah Terengganu, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X