Ahad, 5 Jun 2022 | 7:17pm
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong. - Foto fail NSTP
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong. - Foto fail NSTP

Siasat dakwaan enam rakan keracunan makanan di Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyiasat dakwaan enam sahabat mengalami keracunan makanan semasa bercuti di Pulau Perhentian Kecil yang dipercayai akibat pencemaran sisa kumbahan yang tidak dirawat baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan kejadian keracunan makanan yang dikatakan berpunca daripada air tercemar di pulau pelancongan tersebut.

"Sehingga ke hari ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes ini.

"Selepas disemak data kejadian keracunan makanan bagi 2021 dan 2022 (setakat semalam) juga tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan di Pulau Perhentian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil di Terengganu.

Semua mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir ketika meluangkan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.

Menurut Dr Kasemani, PKD Besut bekerjasama dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jabatan dan Pejabat Daerah Besut dalam Operasi Pemeriksaan Premis Makanan dan Bekalan Air di Pulau Perhentian pada 1 hingga 3 Jun lalu.

"Ia bertujuan memastikan tahap kebersihan premis penyediaan makanan, keselamatan makanan serta bekalan air berada pada tahap yang terbaik.

"Sebanyak 49 premis makanan telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 17 premis diberikan Gred A, manakala 32 premis diberikan Gred B," katanya.

Katanya, memandangkan isu terbabit membabitkan pelbagai agensi, perkara itu juga sudah dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana peringkat Daerah Besut yang melibatkan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Besut, Majlis Daerah Besut, PKD Besut, Syarikat Air Terengganu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Indah Water Konsortium.

"Satu tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Pihak jabatan memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitik berat aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual," katanya.

Berita Harian X