Rabu, 25 Mei 2022 | 8:14pm

Air naik terlalu pantas

SEKINCHAN: Penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Parit 7, Sungai Leman, di sini, menyifatkan banjir kilat susulan hujan lebat dan fenomena air pasang besar hari ini, antara yang terburuk.

Mereka memaklumkan biasanya air hanya naik tidak pernah melimpah ke dalam kediaman.

Mohd Amirul Asraf Md Usul, 23, berkata banjir kilat kali ini tidak dijangka kerana paras air meningkat dengan begitu pantas, selepas hujan lebat kira-kira 11.30 pagi.

"Sejam kemudian, air mula naik sampai ke pintu depan dan menenggelamkan dua bilik, ruang tamu serta dapur.

"Saya dan lapan ahli keluarga segera berkemas dan menyelamatkan perabot serta barang elektrik," katanya, hari ini.

Mohd Amirul berkata, dia sekeluarga menumpang sementara di rumah neneknya di Parit 5, Kampung Seri Sentosa.

Keadaan rumah penduduk dinaiki air di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Parit 7, Sungai Leman, akibat banjir kilat susulan hujan lebat dan fenomena air pasang besar, hari ini. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Sementara itu, Siti Kowiyah Dollah Fakeh, 56, berkata penempatan penduduk di situ rendah dan berhampiran dengan pantai menyebabkan mudah dinaiki air.

Dia yang tinggal di situ sejak 30 tahun lalu turut menyifatkan banjir kilat kali ini yang terburuk.

"Semasa kejadian, hanya saya seorang di rumah kerana dua anak berada di luar," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor), Norazam Khamis berkata, kira-kira 100 rumah penduduk di sekitar Sekinchan terjejas akibat banjir kilat tetapi tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Anggota bomba memantau rumah penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Sri Aman, Ijok, hari ini. - Foto BOMBA
Anggota bomba memantau rumah penduduk yang dilanda banjir kilat di Kampung Sri Aman, Ijok, hari ini. - Foto BOMBA
Berita Harian X