Sabtu, 21 Mei 2022 | 4:44pm
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengadakan majlis Makan Malam Amal Hari Guru Selangor 2022 mengumpul dana berjumlah RM65,000 untuk menganjurkan Hari Guru Negeri Selangor Selasa ini. - Foto Jabatan Pendidikan Negeri Selangor
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengadakan majlis Makan Malam Amal Hari Guru Selangor 2022 mengumpul dana berjumlah RM65,000 untuk menganjurkan Hari Guru Negeri Selangor Selasa ini. - Foto Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

Kumpul dana RM65,000 bagi sambutan Hari Guru Negeri Selangor Selasa ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) mengumpul dana berjumlah RM65,000 melalui program Majlis Makan Malam Amal Hari Guru Selangor 2022 bagi melaksanakan Sambutan Hari Guru Negeri yang bakal berlangsung di IDCC, Shah Alam 24 Mei ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata inisiatif JPN Selangor itu seharusnya dipuji dalam usaha menghargai dan membalas jasa warga pendidik yang banyak berjasa kepada anak bangsa serta negara.

"Usaha murni majlis makan malam ini adalah langkah terbaik bukan sahaja untuk mengumpul dana tetapi memberi peluang kepada semua pihak menyampaikan sumbangan kepada golongan pendidik. Majlis seperti ini akan terus memberi impak positif kepada jabatan pendidikan di seluruh negeri," katanya pada majlis makan malam amal sambutan hari guru peringkat Selangor yang dihadiri lebih 1,000 guru dan pihak penaja.

Turut hadir, Pengarah JPN Selangor, Rohayati Abd Hamed dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah (menjalankan tugas Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Utama), Mohd Kamal Azizi Abdul Aziz merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Makan Malam Amal Hari Guru Peringkat Selangor 2022.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid berharap sambutan Hari Guru Negeri Selangor Selasa ini dapat meninggalkan 1,001 kenangan manis kepada warga pendidik negeri itu sekali gus menjadi satu langkah proaktif menghargai jasa insan bergelar guru yang memberi impak dalam kehidupan masyarakat.

Sementara itu, Rohayati berkata, pihaknya akan memastikan slogan 'Selangor Maju' akan dinikmati dalam sektor pendidikan di negeri itu sekali gus berusaha memantapkan lagiaspek akademik dan keperibadian murid.

"Sesuai dengan inisiatif program 'Sekolahku Sejahtera' dan tema hari guru pada tahun ini 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' saya yakin, Selangor akan menjadi negeri termaju di Malaysia," katanya.

Berkongsi objektif yang dicapai pada Makan Malam Amal Sambutan Hari Guru peringkat Selangor, Mohd Kamal Azizi, memaklumkan dana yang diterima adalah hasil sumbangan daripada individu sektor kerajaan dan swasta dalam bentuk pembelian meja pada majlis berkenaan.

"Sumbangan yang diperoleh adalah daripada hasil penjualan meja makan kepada individu sektor awam dan swasta, badan korporat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan perguruan seluruh Selangor.

"Terdapat empat kategori jualan meja iaitu platinum berharga RM5,000 manakala emas (RM2,500), perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500)," katanya.

Berita Harian X