Ahad, 15 Mei 2022 | 3:44pm
Guru Pendidikan Moral SMK Setia Alam, Nor Jilawati Mohd Amin.- Foto Nor Jilawati
Guru Pendidikan Moral SMK Setia Alam, Nor Jilawati Mohd Amin.- Foto Nor Jilawati

Motivasi pelajar miskin bandar elak tercicir

SHAH ALAM: Bertentangan dengan kepercayaan popular, pembelajaran di sekolah bandar tidak selalunya selesa dan lancar.

Guru yang bertugas di bandar turut berdepan cabaran tersendiri dan menghadapi banyak kesukaran terutama ketika mereka menjalankan pembelajaran dalam talian ketika pandemik COVID-19.

Perkara ini diakui, Nor Jilawati Mohd Amin, 36, yang mengajar Pendidikan Moral di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam di Shah Alam, di sini.

Norjilwati berkata, merapatkan jurang digital adalah cabaran paling sukar, namun beliau bertekad memastikan tiada pelajar keciciran dalam pendidikan.

Katanya, sebagai guru beliau sentiasa berusaha supaya setiap pelajar dapat mengikuti kelas dalam talian dengan penuh minat meskipun dengan kaedah di luar kelaziman biasa.

"Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di rumah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu memerlukan pelajar memiliki peranti digital dan capaian Internet yang stabil.

"Bagaimanapun, ramai pelajar daripada masyarakat miskin bandar tidak menikmatinya. Ada yang hanya mempunyai peranti kecil, seperti telefon bimbit dan mereka sukar untuk melihat alat visual yang dipaparkan pada skrin guru.

"Bagi menyahut amanat kementerian untuk mengurangkan keciciran pelajar, saya berusaha mengenalpasti pelajar yang gagal mengikuti kelas secara dalam talian atau luar talian. Jadi, saya perlu merangka strategi untuk memastikan tiada pelajar tercicir," katanya.

Menurutnya, cabaran meningkatkan pembabitan pelajar dalam PdPR di tengah-tengah penggunaan teknologi membataskan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara dalam talian.

Justeru, beliau berusaha mendorong minat pelajar dengan permainan dan aplikasi yang sesuai semasa belajar serta menjalankan aktiviti menarik bagi meningkatkan kefahaman mereka.

"Saya membina satu 'channel' youtube 'Jom Belajar Dengan Cikgu Jila' untuk membantu pelajar dalam memahami topik pembelajaran, belajar teknik menjawab soalan dan aktiviti pembelajaran di luar jadual waktu.

"Saya juga mengambil inisiatif dengan memberi atau menghantar modul pembelajaran melalui kotak pembelajaran yang disediakan di pondok pengawal untuk diambil oleh pelajar.

"Malah saya juga akan menghubungi pelajar untuk menjalankan sesi perbincangan pembelajaran bagi memastikan modul pembelajaran digunakan secara optimum," katanya kepad BH.

Katanya, pembelajaran dalam talian juga sangat sukar bagi golongan B40, dari kekangan peranti bagi mengikuti proses pembelajaran hinggalah tiada ruang belajar yang kondusif.

Norjilawati berkata, melalui media elektronik dan media sosial, beliau turut mengambil inisiatif menggunakan rancangan TV Pendidikan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman.

"TV Pendidikan juga dapat dimanfaatkan bagi pelajar yang menetap di kawasan yang tidak mempunyai jaringan internet yang memuaskan.

"Saya turut mengambil peluang ini untuk menjadi penyampai Didik TV, usaha yang dilakukan guru bukan sahaja untuk anak didik di sekolah malah di seluruh Malaysia," katanya.

Berita Harian X