Sabtu, 14 Mei 2022 | 5:05pm
Mahdzir beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Aidilfitri Parlimen Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka hari ini. - NSTP/ NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Mahdzir beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Aidilfitri Parlimen Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka hari ini. - NSTP/ NOORAZURA ABDUL RAHMAN

RM3.8 juta bantuan persekolahan YPM untuk pelajar B40

PADANG TERAP: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan RM3.8 juta dalam bentuk bantuan persekolahan kepada 30,000 pelajar dalam kategori B40 tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu diberikan secara sekali gus dalam bentuk kewangan, barangan dan juga kelengkapan sekolah.

Mengulas lanjut, katanya YPM adalah badan organisasi yang mempunyai skim bantuan untuk pelajar kurang berkemampuan.

"Program bantuan ini berterusan tidak kira di mana tempat, asalkan kita dapati ada laporan daripada sekolah-sekolah tertentu dan juga di pejabat-pejabat pendidikan daerah meminta kita salurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut menyampaikan bantuan persekolahan YPM kepada 200 pelajar B40 di daerah ini dengan nilai bantuan berjumlah RM20,000.

Mahdzir berkata ketika mengulas bantuan itu berkata, YPM mempunyai tiga bentuk Skim Bantuan Persekolahan yang digerakkan secara berkala.

"Skim pertama membabitkan Skim Bantuan Persekolahan (SBP) - badan bukan kerajaan (NGO)/Rakan Strategik, Skim Bantuan Khas Persekolahan (SBKP) dan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP)," katanya.

Untuk rekod, tahun lalu YPM menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah lebih RM4.1 juta kepada 53,741 pelajar B40 di seluruh negara.

Berita Harian X