Ahad, 8 Mei 2022 | 11:35am

'Anggur Ukraine lebat berbuah di Slim River'

SLIM RIVER: Usaha seorang jurutera menanam anggur ternyata berbaloi selepas hasil kedua tanaman terbabit meningkat kepada 800 kilogram berbanding hanya 500 kilogram sebelum itu.

Peningkatan hasil tanaman anggur berasal dari Ukraine di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, susulan penggunaan baja dibuat mengikut formula sendiri menggunakan campuran bahan tempatan.

Ir Hishamuddin Othman, 57, berkata pokok anggur yang ditanam dalam rumah pelindung hujan (RPH) bukan setakat mampu mengeluarkan buah yang lebat , malah ia tahan daripada perubahan cuaca dan suhu di kawasan persekitaran.

"Terdapat 54 pokok anggur membabitkan 28 jenis anggur ditanam secara fertigasi di dalam RPH sejak Februari tahun lalu.

"Selepas hasil tuaian anggur yang pertama, kerja pemangkasan daun dan dahan perlu dilakukan dua kali iaitu selepas buah dituai dan empat bulan kemudian, barulah pokok anggur mampu mengeluarkan hasil lumayan," katanya ketika ditemui di Muallim Hortigard and Nursery, dekat sini.

Tanaman anggur diusahakan beliau itu turut dilawati pengunjung yang mahu menikmati buah anggur dipetik daripada pokok dengan bayaran RM5 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Pokok anggur yang ditanam secara fertigasi di dalam rumah pelindung hujan (RPH) bakal masak sepenuhnya pada minggu depan. - NSTP/Rosman Shamsudin
Pokok anggur yang ditanam secara fertigasi di dalam rumah pelindung hujan (RPH) bakal masak sepenuhnya pada minggu depan. - NSTP/Rosman Shamsudin

Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles. - NSTP/ Rosman Shamsudin
Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles. - NSTP/ Rosman Shamsudin

Antara anggur yang menjadi kegemaran pengunjung ialah jenis Jupiter yang mempunyai perasa buah laici, manakala jenis Krasava dan Lorano pula berbuah besar dengan ketiga-tiga jenis ini berwarna merah gelap.

Hishamuddin berkata, benih pokok anggur ditanam itu berasal dari Ukraine.

Katanya, usaha beliau menanam pokok anggur dan memberi peluang orang ramai melawat secara tidak langsung dapat memberi peluang pengunjung merasai kepelbagaian jenis, rasa, warna dan bentuk buah anggur.

"Buah anggur yang sedang lebat berbuah dijangka masak sepenuhnya pada minggu depan dan ketika cuti Aidilfitri baru-baru ini, ramai pengunjung singgah sambil merakam gambar di sini.

"Bagi mereka yang selalu melancong ke luar negara, melihat pokok anggur lebat berbuah adalah perkara biasa, namun bagi sesetengah pengunjung pula inilah masa untuk merasai suasana seolah berada di luar negara," katanya.

Hishamuddin berkata, beliau juga boleh memberi khidmat nasihat penanaman dan penjagaan pokok anggur kepada mereka yang berminat menceburi tanaman terbabit.

Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles yang lebat berbuah ditanam secara fertigasi. - NSTP/ Rosman Shamsudin
Hishamuddin menunjukkan anggur jenis Veles yang lebat berbuah ditanam secara fertigasi. - NSTP/ Rosman Shamsudin
Berita Harian X