Selasa, 26 April 2022 | 8:53am
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim selepas melancarkan Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah 2022-2025 di Kota Kinabalu. - Foto ihsan pembaca
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim selepas melancarkan Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah 2022-2025 di Kota Kinabalu. - Foto ihsan pembaca

Liputan menyeluruh internet 4G di Sabah bermula seawal 2023

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah disasar dapat menikmati jaringan perkhidmatan internet 4G yang lebih baik setelah rangkaiannya diperluaskan 100 peratus ke seluruh Sabah seawal-awalnya mulai tahun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan, berkata walaupun sasaran untuk mencapai jaringan perkhidmatan menyeluruh ditetapkan pada 2025, usaha menyegerakan sasaran itu sedang dilaksanakan supaya dapat dicapai lebih awal.

"Jaringan rangkaian internet 4G dijangka sempurna atau mencapai tahap liputan 100 peratus pada 2025 tetapi kementerian saya menyasarkan untuk mempercepatkan usaha mencapai sasaran itu pada 2023 atau 2024.

"Pada masa yang sama kita juga menyasarkan untuk melengkapkan kemudahan liputan internet 5G bermula di tiga bandar utama di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

"Liputan 5G di daerah lain di Sabah akan dilaksanakan secara berperingkat selepas penyediaan perkhidmatannya diperkenalkan di tiga bandar utama terbabit," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah 2022-2025, di sini, lewat petang semalam.

Peningkatan liputan jaringan perkhidmatan internet 4G dan 5G turut digariskan dalam pelan strategik berkenaan yang dibuat dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi negeri serta persekutuan termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Mengulas lanjut mengenai pelan berkenaan, Yakub berkata ia disasar untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sempena majlis pelancaran itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) berkaitan kerjasama meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar melalui pelaksanaan teknologi 'smart pole' dan 'wireless bridging system'.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bekerjasama memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pelaksanaan program 'Young Scientist Network' dan 'National Science Challenge' (NSC) peringkat negeri Sabah.

Turut ditandatangani ialah MoU di antara agensi di bawah kementerian berkenaan iaitu Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah dengan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dan MoU di antara Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCENIC) dengan Malaysia Technology Development Corporation (MTDC).

Pada majlis itu, Yakub turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada 35 pelajar tahfiz dan anak yatim untuk menceriakan mereka pada sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Berita Harian X