Selasa, 12 April 2022 | 6:35pm
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kanan) menyampaikan keputusan undian kepada pemohon yang berjaya dalam Majlis Pengundian Rumah Manpu Milik Taman Sri Nova, Repah di sini, petang tadi. - Foto Ihsan Pejabat MB.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kanan) menyampaikan keputusan undian kepada pemohon yang berjaya dalam Majlis Pengundian Rumah Manpu Milik Taman Sri Nova, Repah di sini, petang tadi. - Foto Ihsan Pejabat MB.

Negeri Sembilan lulus bina 7,518 unit Rumah Mampu Milik

TAMPIN: Kerajaan negeri meluluskan kebenaran merancang 7,518 unit rumah mampu milik (RMM) berharga RM80,000 setiap satu bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah, sejak Jun 2018 sehingga 11 Mac tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata terdapat sebahagian projek perumahan berkenaan yang telah siap dan diduduki selain dalam fasa pembinaan.

Katanya, Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) menetapkan setiap pemaju perumahan diwajibkan membangunkan 50 peratus rumah mampu milik berharga antara RM80,000 hingga RM400,000, dalam setiap kawasan perumahan baharu.

Daripada 50 peratus komponen rumah mampu milik, sebanyak 20 peratus adalah bagi rumah mampu milik yang berharga maksimum RM80,000, 15 peratus berharga antara RM81,000 ke RM250,000 dan baki 15 peratus adalah bagi rumah mampu milik berharga antara RM251,000 sehingga RM400,000.

"Kerajaan negeri menyediakan dasar untuk memastikan terdapatnya rumah mampu milik dalam setiap kawasan pembangunan perumahan.

"Langkah ini adalah untuk memastikan konsep rumah mampu milik berkenaan menepati makna sebenar mampu milik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Taman Sri Nova, Repah di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin.

Aminuddin berkata, pihaknya akan memastikan dasar berkenaan dipatuhi dan diikuti sepenuhnya oleh pemaju.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana pastinya akan terdapat rumah mampu milik yang ditawarkan di pasaran dan terpulang kepada masing-masing untuk memilih mengikut kemampuan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menerima 517 permohonan bagi projek rumah mampu milik Type A taman berkenaan yang berharga RM80,000, namun hanya 72 pemohon melepasi syarat ditetapkan dan berjaya dalam tapisan.

Berita Harian X