X
Isnin, 11 April 2022 | 7:58pm

Lonjak semula industri pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Penerbangan terus Firefly antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dilihat mampu melonjakkan semula industri pelancongan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pemilihan Sabah sebagai salah satu laluan syarikat penerbangan itu akan lebih memudahkan kemasukan rakyat di negara ini dan pelancong antarabangsa.

"Saya mengalu-alukan rakyat di seluruh negara untuk datang ke Sabah dan meneroka negeri ini di semua tempat-tempat menarik, termasuklah dari segi kepelbagaian kebudayaan.

"Pihak kementerian juga sentiasa terbuka bekerjasama dengan semua syarikat penerbangan untuk membuat penerbangan terus ke Sabah khususnya Kota Kinabalu," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang bagi penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi MASwings yang juga mewakili Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman.

Sementara itu, Nasaruddin berkata, seramai 100 penumpang menaiki penerbangan pertama Firefly dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, Firefly setakat ini hanya membuat satu penerbangan antara dua destinasi berkenaan sehingga 24 April ini sebelum menambah kepada dua penerbangan sehari bermula 25 April.

Jafry menyambut ketibaan penumpang cilik penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang tadi. - NSTP/ Mohd Adam Arinin
Jafry menyambut ketibaan penumpang cilik penerbangan sulung Firefly dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang tadi. - NSTP/ Mohd Adam Arinin
Berita Harian X