Ahad, 10 April 2022 | 10:05am
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. - Foto ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. - Foto ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

Johor umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam negeri

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, berkata pemberian itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu lalu.

"Pemberian bantuan khas kewangan turut disalurkan kepada kakitangan bawah Skim 'Contract Of Service', 'Contract For Service', Pegawai Sambilan Harian serta lantikan bawah MySTEP.

"Bantuan khas kewangan ini akan membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM18.81 juta dan diberikan kepada kira-kira 13,400 kakitangan awam di Johor.

"Pemberian bantuan khas kewangan ini adalah keprihatinan Kerajaan Johor bagi meringankan beban kewangan penjawat awam negeri sempena menyambut ketibaan lebaran tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, bantuan khas kewangan itu akan dibayar pada 28 April depan.

"Semakan kelayakan bayaran bantuan khas kewangan boleh dirujuk melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2022," katanya.

Berita Harian X