Jumaat, 8 April 2022 | 12:58pm
Kakitangan Hotel Apple Shah Alam bersama anak yatim dan pengurusan Rumah Nur Sakinah. - Foto Rozey Suratman
Kakitangan Hotel Apple Shah Alam bersama anak yatim dan pengurusan Rumah Nur Sakinah. - Foto Rozey Suratman

Program 'Kami Kasih Kami Sayang' rai 40 anak yatim

SHAH ALAM: Seramai 40 anak-anak yatim dari Rumah Nur Sakinah, Subang diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Hotel Apple Shah Alam, semalam.

Pengurus Hotel Apple Shah Alam, Mimi Syaqirah Rosli berkata, majlis itu diadakan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara kakitangan Rumah Nur Sakinah, sekali gus meraikan anak-anak yatim dalam menyambut kemuliaan Ramadan.

"Ramadan adalah peluang terbaik untuk kami berkongsi rezeki kepada masyarakat yang selama ini banyak menyokong kami, terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir berikutan COVID-19.

"Pihak Hotel Apple Shah Alam berbesar hati kerana dapat menghulurkan bantuan dan meraikan anak-anak yatim serta kakitangan di Rumah Nur Sakinah.

"Konsep program yang kami telah lancarkan iaitu 'Kami Kasih Kami Sayang' amat bertepatan dan kami berharap inisiatif kecil ini dapat melakar senyuman buat mereka sekali gus meringankan beban mereka," katanya selepas majlis berbuka puasa di Rumah Nur Sakinah.

Turut hadir, Pengurus Rumah Nur Sakinah, Siti Roqaiyah Azmi.

Mimi Syaqirah berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) yang julung kali diadakan di Hotel Apple Shah Alam itu turut mendapat kerjasama Arrow Space Studio yang mana sebuah lakaran mural turut disumbangkan di satu sudut Rumah Nur Sakinah.

Sementara itu, Siti Roqaiyah turut bersyukur atas sumbangan diberikan serta mengalu-alukan kepada syarikat atau organisasi lain yang ingin menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim itu.

"Syukur Alhamdulillah. Kami berasa sangat gembira di atas sumbangan yang diberikan. Jelas sekali anak-anak di Rumah Nur Sakinah nampak sangat ceria selepas program yang diadakan hari ini," katanya.

Berita Harian X