Sabtu, 2 April 2022 | 7:00pm
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjalin kerjasama dengan BERNAS dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi negara, khususnya di Sarawak. - Foto hiasan
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjalin kerjasama dengan BERNAS dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi negara, khususnya di Sarawak. - Foto hiasan

Kerjasama MAFI, BERNAS jamin peningkatan pengeluaran beras negara

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalin kerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi negara, khususnya di Sarawak.

MAFI dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerjasama dimeterai bagi menjamin operasi Kilang Benih Padi Sah (SPPC) Stumbin di Sri Aman, lebih berdaya maju dan kekal lestari untuk tempoh jangka panjang.

Menurut kenyataan itu, pengambilalihan pengoperasian SPPC Stumbin oleh BERNAS secara sewaan bersyarat itu dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran benih padi sah negara.

Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kolaborasi (MOC) bagi pengoperasian SPPC Stumbin antara MAFI-BERNAS itu di sini, hari ini, disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri (Pembangunan Wilayah) Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Maclaine Martin Ben; Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama itu juga sebahagian daripada usaha MAFI bersama BERNAS untuk meningkatkan produktiviti hasil padi negara selari dengan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

"Dalam hal ini, BERNAS merancang mengusahakan Program SMART SBB sekitar 1,000 hektar di Sarawak.

"Berikutan ketiadaan kilang padi yang bersesuaian untuk menampung pengeluaran padi berskala besar di Sarawak, untuk jangka masa panjang, dicadangkan supaya Kilang SPPC Stumbin ini dinaiktaraf sebagai pusat belian dan kilang padi komersil," kata kenyataan itu.

Kilang berkapasiti pengeluaran padi sebanyak dua tan metrik (MT) sejam dan kapasiti optimum ialah sebanyak 600 MTb itu dibina pada tahun 2012 dan siap pada tahun 2014.

Penanaman padi di Sarawak bersifat tradisional dengan varieti padi tradisional dan majoriti kawasan sawah padi yang menggunapakai benih padi varieti moden ialah di Batang Lupar.

Kawasan seluas 196 hektar sawah di Batang Lupar sudah mempunyai infrastruktur pengairan yang lengkap ke tahap tersier manakala sekitar 1,200 hektar lagi mempunyai infrastruktur pengairan tahap sekunder.

Usaha pengoperasian sistematik oleh BERNAS itu adalah antara langkah awal dalam mewujudkan jelapang padi moden

berskala besar di Sarawak.

Sehingga Mac 2022, Program SMART SBB di Sarawak sedang dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar dengan kerjasama Syarikat Peneraju Advansia (Sarawak) Sdn Bhd yang membabitkan kawasan seluas 60 hektar di L2 dan L3 Tanjung Bijat, Sri Aman bagi Musim Utama tahun 2021 dan Luar Musim tahun 2022.

Program itu membabitkan seramai 245 peserta bagi kedua-dua musim dijangka dapat meningkatkan pendapatan pesawah sehingga 50 peratus melalui kemudahan infrastruktur dan mekanisasi ladang yang lengkap.

Beberapa kawasan lain di bawah seliaan IADA Batang Lupar juga sedang diusahakan oleh BERNAS membabitkan anggaran kawasan seluas 35 hektar dengan 79 orang pesawah yang dilihat berpotensi untuk memperluaskan lagi Program SMART SBB di Sarawak.

"MAFI akan terus menggandakan usaha program SMART SBB untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing.

"Pembabitan pihak swasta dalam industri padi dan beras negara amatlah penting bagi menyuntik semangat baru kepada industri ini dengan sumber modal pembiayaan semaksimum mungkin sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai," kata kenyataan itu.

Berita Harian X