Jumaat, 1 April 2022 | 10:05pm
Raja Datuk Nushirwan menyerahkan sumbangan buku berbahasa Melayu dua universiti di Beijing iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) dan Universiti Komunikasi China (CUC) pada Selasa lalu.
Raja Datuk Nushirwan menyerahkan sumbangan buku berbahasa Melayu dua universiti di Beijing iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) dan Universiti Komunikasi China (CUC) pada Selasa lalu.

Sumbang buku Melayu antara inisiatif mengantarabangsakan bahasa kebangsaan di China

KUALA LUMPUR: Usaha pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di China terus disuburkan dengan antara kaedah digunakan melalui sumbangan naskhah dalam bahasa kebangsaan untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara itu.

Pengarah Pendidikan Malaysia Beijing, Abdul Aziz How Abdullah berkata, inisiatif itu antara usaha awal pihaknya yang turut didukung pelbagai pihak berkaitan termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

"Hasil komitmen dan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Malaysia dan China, serta kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), akhirnya bekalan buku berkenaan selamat sampai ke China dan diterima baik pihak universiti.

"Usaha pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di China sentiasa menjadi keutamaan Kedutaan Besar Malaysia di China dengan terus menyokong keperluan dan bantuan bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh institusi pendidikan di China," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, di China ketika ini, sekitar 15 universiti menawarkan program bahasa atau pengajian Melayu di negara itu dengan 36 pensyarah China dan sembilan pakar dari Malaysia menjadi tenaga pengajar pengajian Melayu.

"Bilangan mahasiswa China yang sedang mengikuti program berkenaan seramai 446 orang, manakala bilangan lepasan jurusan Bahasa Melayu kini telah mencecah 800 orang," katanya.

Selasa lalu, satu majlis penyerahan buku berbahasa Melayu kepada beberapa universiti di China disempurnakan Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Dalam majlis itu, penyerahan sumbangan buku berkenaan membabitkan dua universiti di Beijing iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) dan Universiti Komunikasi China (CUC).

Sementara itu, Raja Datuk Nushirwan berkata, penyerahan buku bahasa Melayu berkenaan adalah pemantapan kepada usaha menyokong peranan yang dimainkan oleh tenaga pengajar pengajian Melayu di institusi pendidikan di China.

"Dengan adanya bahan bacaan tambahan ini, ia akan menyuburkan lagi minat belia China dan meningkatkan pengayaan bahasa Melayu mereka.

"Kami yakin mempelajari bahasa bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi ia menjadi penghubung bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan antara kedua-dua buah negara," katanya.

Berita Harian X