Jumaat, 1 April 2022 | 4:06pm
Aminuddin (kanan) mendengar taklimat berkaitan sistem ramalan dan amaran banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. -NSTP/MOHD AMIN JALIL
Aminuddin (kanan) mendengar taklimat berkaitan sistem ramalan dan amaran banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. -NSTP/MOHD AMIN JALIL

Ramalan banjir di Negeri Sembilan seminggu lebih awal

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal dilengkapi 106 stesen hidrologi, termasuk 41 stesen baharu menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2 yang sedang dan akan dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7.2 juta bagi membangunkan PRAB di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan pembinaan serta naik taraf stesen berkenaan dijangka berupaya memberi ramalan dan amaran banjir lebih awal.

"Negeri Sembilan terlibat dalam pembinaan stesen–stesen hidrologi baharu serta naik taraf stesen sedia ada di bawah pembangunan model ramalan banjir Lembangan Sungai Pahang semasa Program Ramalan Awal Banjir Fasa 1. Ini menjadikan negeri ini sudah dilengkapi 58 Stesem Hujan Telemetri, 16 Stesen Aras Air Telemetri dan 22 Stesen Siren.

"Bagaimanapun, dalam fasa 2, terdapat 41 stesen hidrologi baharu dibina yang dijangka berupaya memberi ramalan dan amaran banjir lebih awal," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN) di Pusat Latihan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Katanya, PRABN sedia ada berupaya meramal banjir dua hari lebih awal, namun sistem baharu mampu meramal seminggu lebih awal, membolehkan penduduk berpindah sebelum bencana melanda dan memberi ruang kepada agensi penyelamat menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan cekap dan teratur.

"Sistem siren baharu yang dipasang di kawasan mempunyai kekerapan banjir dan risiko kehilangan nyawa, dengan kekuatan bunyi 0.5 hingga 1 kilometer (km) radius, sekali gus dapat membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar meminta kerjasama Pengerusi Majlis Permuafakatan Komunti Kampung (MPKK) yang dilantik sebagai Sahabat Siren membantu kerajaan memantau keadaan Stesen Siren di kawasan masing-masing.

"Sahabat Siren memainkan peranan membantu memastikan siren berkenaan berfungsi ketika aras air naik dan sekiranya tidak berfungsi, mereka perlu melaporkan kepada JPS," katanya.

Berita Harian X