Selasa, 29 March 2022 | 3:43pm
Semua kenderaan awam dibenarkan memasuki Singapura bermula Jumaat ini. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Semua kenderaan awam dibenarkan memasuki Singapura bermula Jumaat ini. - Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Bas henti-henti ke Singapura mula Jumaat ini

JOHOR BAHRU: Sebanyak 20 bas digunakan bagi khidmat henti-henti Johor Bahru (JB) - Singapura untuk pembukaan sempadan, bermula Jumaat ini.

Pengurus Handal Indah Sdn Bhd, Mahathir Anuar, berkata perkhidmatan itu hanya untuk laluan di Tambak Johor.

Katanya, penggunaan 20 bas itu dibuat atas permit sedia ada Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

"Sebelum pandemik COVID-19, lebih dari 100 buah bas ulang alik (Causeway Link) JB-Singapura digunakan setiap hari bagi merentas sempadan melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua (Second Link).

"Buat permulaan pembukaan sempadan, hanya 20 buah bas digunakan kerana bas ini saja yang mempunyai permit VTL.

"Kami akan membuat permohonan kepada pihak Land Transport Authority (LTA) Singapura untuk mendapatkan permit khas kenderaan perkhidmatan awam, bagi membenarkan lebih banyak perkhidmatan bas henti-henti JB-Singapura digunakan," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula sepenuhnya pada 1 April ini, selepas lebih dua tahun sempadan negara ditutup, bagi mengekang penularan COVID-19.

Langkah tersebut diumumkan selaras dengan pengumuman peralihan ke fasa endemik pada bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata selaras pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura, semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dibenarkan beroperasi.

Berita Harian X