Sabtu, 26 March 2022 | 8:09am
Proses melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu menggunakan insinerator.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Proses melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu menggunakan insinerator.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Lebih 13 tan Al Quran rosak sudah dilupuskan

PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah melupuskan lebih 13 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata peringkat pertama proses pelupusan menggunakan insinerator dibuat di pusat pelupusan milik JAIP di Pekan yang mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram sehari.

Katanya, minggu lalu pihaknya menghantar 10 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran ke pusat pelupusan swasta di Kampung Temin, Jerantut.

"Bagi proses pelupusan swasta, JAIP perlu membayar perkhidmatan mengikut berat bahan bacaan yang hendak dilupuskan.

"Apabila semua al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir berjaya dilupuskan menjadi abu, proses menghasilkan bongkah atau ketulan perlu dilakukan sebelum tindakan selanjutnya dilakukan," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, bongkah seberat lima kilogram setiap satu akan disimpan dalam beg plastik sebelum proses melupuskan di laut dilakukan dengan bantuan agensi kerajaan lain.

Noridzuan berkata, pihaknya mengambil masa yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran kerana jumlahnya banyak selain terlebih dahulu perlu dikeringkan.

"Kita menganggarkan lebih 30 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir akhir tahun lalu perlu dilupuskan secara berperingkat.

"Bentong dan Temerloh mencatat jumlah terbanyak al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir berbanding Kuantan, Bera, Jerantut, Raub, Maran dan Lipis," katanya.

Noridzuan berkata, setiap kali bencana banjir besar berlaku di negeri ini, episod al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran rosak pasti berlaku terutama apabila banyak masjid ditenggelami air.

Katanya, bantuan kewangan sebanyak RM65,000 oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada setiap Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Bentong, Temerloh, Kuantan, Lipis, Raub dan Rompin dapat meringankan beban JAIP untuk mengumpul, memproses dan melupuskan bahan bacaan itu.

Berita Harian X