Jumaat, 25 March 2022 | 7:51am

15 daerah di Sabah rekod jangkitan satu angka

KOTA KINABALU: Sejumlah 15 daerah di Sabah mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 satu angka semalam dengan Beluran, Kunak dan Semporna merekodkan hanya satu kes jangkitan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata empat lagi iaitu Tenom, Kinabatangan, Telupid dan Tongod masing-masing merekodkan dua kes, diikuti Ranau, Pitas dan Nabawan dengan masing-masing empat kes, Kudat dan Lahad Datu masing-masing enam kes, tujuh kes di Sipitang, lapan kes di Kuala Penyu serta Keningau dengan sembilan kes.

Mengulas lanjut, Masidi berkata sebanyak 10 daerah mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 dua angka iaitu Penampang (47), Papar (44), Tuaran (41), Sandakan (27), Putatan (23), Kota Belud (17), Tawau (14), Kota Marudu (14), Tambunan (14) dan Beaufort (13).

"Kota Kinabalu pula kembali mencatatkan jangkitan tiga angka dengan 123 kes, manakala Kalabakan satu-satunya daerah yang tidak merekodkan sebarang kes baharu semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai angka jangkitan keseluruhan di Sabah, Masidi berkata Jabatan Kesihatan Negeri merekodkan 436 kes positif baharu COVID-19 menjadikan kumulatif 365,551 kes.

"Sebanyak dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Keningau dan Kota Belud, manakala bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 1,248 orang menjadikan kumulatif 343,913 orang.

"Seramai 465 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 393 orang di hospital, 71 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang lagi di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X