Rabu, 23 March 2022 | 4:37pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Kadar pengangguran di Sabah meningkat

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kadar pengangguran yang tinggi mencapai lapan peratus pada 2020 dan terus meningkat kepada sembilan peratus tahun lalu, peningkatan drastik berbanding hanya 5.8 peratus pada 2019.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata pada 2021, seramai 184,200 penganggur direkodkan di Sabah atau sembilan peratus berbanding lapan peratus pada 2020 dan 5.8 peratus pada 2019.

Ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata, kadar pengangguran yang tinggi itu amat membimbangkan, namun usaha mengurangkannya giat dilaksanakan kementerian bersama agensi Persekutuan dan negeri termasuk menawarkan peluang kerja baharu.

Antaranya, Yakub berkata, melalui portal MyFutureJobs, seramai 110,038 pencari kerja aktif direkodkan di Sabah dan Labuan setakat ini dengan 43,229 kekosongan jawatan ditawarkan setakat 22 Mac lalu.

Katanya, penempatan pekerjaan dari 2021 hingga Februari 2022 pula sebanyak 8,684 berdasarkan Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Bantuan mencari kerja untuk orang kurang upaya (OKU) turut dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah dan PERKESO pada tahun lalu. PERKESO mengadakan dua siri program Karnival Kerjaya OKU pendengaran dan pelbagai, masing-masing pada awal dan akhir 2021.

"Seramai 16 OKU mendapat penempatan pekerjaan hasil program itu. Pada tahun ini, program ini akan diadakan pada Mei depan bagi memenuhi keperluan golongan OKU di Sabah secara amnya. Selain itu, 6,977 orang lagi mendapat penempatan pekerjaan melalui program Karnival Kerjaya hasil kerjasama JPSM dan PERKESO pada 2021," katanya.

Pada masa terdekat ini pula, katanya, dijangka seramai 2,500 belia Sabah akan mendapat peluang pekerjaan dalam Career Gig-Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan diadakan pada 29 Mac ini.

"JPSM juga melaksanakan 105 Program Latihan Kemahiran dalam pelbagai bidang kemahiran di Sabah dengan 5,772 belia berjaya dilatih pada 2021 dan 236 sedang mengikuti latihan pada tahun ini. Pelbagai latihan lain turut dijayakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah," katanya.

Dalam hal berkaitan, Yakub berkata, kementeriannya juga dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal di Sabah dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Berita Harian X