Isnin, 21 March 2022 | 2:36pm
Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai. Foto ihsan Jabatan Penerangan
Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai. Foto ihsan Jabatan Penerangan

Sabah bincang VTL dengan negara masih tutup sempadan

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan berbincang berhubung keperluan mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Sabah dengan negara serantau yang masih belum membuka sempadan mereka.

Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata VTL adalah rangsangan yang diperlukan untuk menyumbang kepada ekonomi negeri, malah pihaknya dan pemain industri sudah bersedia mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa.

"Pihak kementerian sentiasa mengadakan libat urus dalam perkara ini dan kita mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah untuk melaksanakan VTL antara Kota Kinabalu dan Singapura.

"Berdasarkan sesi libat urus bersama pemain industri, kita tahu mereka sudah bersedia. Bagaimanapun, kita harus mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa negeri, yang membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), jabatan dan agensi kerajaan lain berkaitan, supaya mereka boleh menilai risiko pelaksanaan VTL.

"Kita sudah lakukan demikian tetapi setakat ini belum ada keputusan untuk memulakan VTL untuk Sabah," katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee (SAPP), Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), dan Justin Wong (Bebas -Sri Tanjong).

Joniston berkata, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, dan MKN bertanggungjawab terhadap proses pelaksanaan VTL dengan rakan sejawat di negara lain.

Beliau berkata, apabila sempadan negara dibuka pada 1 April nanti, tidak ada keperluan untuk VTL kecuali negara yang masih menutup pintu sempadan.

"Bagi negara yang belum membuka sempadan, pihak kementerian akan mengambil langkah untuk berbincang dengan negara terbabit untuk pelaksanaan VTL," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mengadakan sesi pembabitan berterusan dengan syarikat penerbangan.

Katanya, Malaysia Airlines (MAS), Cebu Pacific Air, Scoot, Jeju Air, dan Air Seoul adalah antara syarikat penerbangan yang mengambil keputusan untuk memulakan penerbangan terus ke Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai keperluan meningkatkan laluan penerbangan domestik dalam negeri, Joniston berkata, beliau yakin syarikat penerbangan akan menambah kekerapan penerbangan ke destinasi domestik jika ada permintaan.

Katanya, kesalinghubungan antara bandar dalam Sabah dan juga dengan negeri lain adalah penting untuk meningkatkan pelancongan domestik.

"Sabah kini mempunyai penerbangan langsung menghubungkan Pulau Pinang-Kota Kinabalu, Kuala Terengganu-Kota Kinabalu, Johor Bahru-Kota Kinabalu, dan Kota Bharu-Kota Kinabalu," katanya.

Berita Harian X