Sabtu, 26 Februari 2022 | 5:54pm
Anggota Bomba membawa keluar ibu mengandung selepas Kampung Temangan di Machang, terputus hubungan. - Foto BOMBA
Anggota Bomba membawa keluar ibu mengandung selepas Kampung Temangan di Machang, terputus hubungan. - Foto BOMBA

Ibu mengandung dipindah oleh Bomba

MACHANG: Lima orang ibu mengandung, termasuk seorang positif COVID-19, dibawa keluar selepas penempatan di Kampung Temangan, terputus hubungan susulan hujan lebat.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kelantan), Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, misi berkenaan disertai 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang membantu memindahkan mangsa dari Pusat Kesihatan Temangan.

"Kakitangan kesihatan menunggu di jalan utama untuk membawa mereka ke hospital.

"Seorang daripada ibu mengandung disahkan positif COVID-19 dibawa oleh anggota SMART dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ada di antara ibu mengandung itu sudah tiba jangkaan waktu bersalin dan mereka dinasihatkan untuk ke hospital lebih awal kerana bimbang paras air semakin naik," katanya

di sini, hari ini.

Nurul Alfisyahrin berkata, pihaknya turut membantu membawa keluar seorang ibu yang berada dalam pantang bersama bayi yang baharu lahir disebabkan mengalami masalah kekuningan dan juga seorang warga emas pesakit buah pinggang.

"Mereka dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X