Rabu, 23 Februari 2022 | 7:05pm

JKM lulus permohonan ibu Diwiyana

TELUK INTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan bantuan bulanan RM500 kepada warga emas terlantar, Selamah Hamid, 73, bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, berkata bantuan itu akan diberikan kepada anaknya, Diwiyana Mohammed, 37, bagi pihak wanita warga emas berkenaan.

"Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga menjaga Selamah yang terlantar tidak dapat bergerak serta memerlukan lampin pakai buang dan susu," katanya selepas melawat keluarga berkenaan di Sungai Manik, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin.

Dr Wan Norashikin berkata, JKM dengan dibantu Jabatan Pembangunan Wanita bersedia memberi kaunseling kepada Diwiyana yang berdepan tekanan dan menjaga ibu sakit, sekali gus mencari rezeki untuk keluarga.

"Kita juga akan memberi Diwiyana kios Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) yang mudah alih untuk membantu Diwiyana berniaga," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati warga emas berkenaan penerima bantuan bulanan JKM Wilayah Persekutuan bermula 2017 hingga April 2020.

Dr Wan Norashikin berkata, selepas berpindah ke Sungai Manik, permohonanan baharu kepada JKM Perak dibuat anak warga emas itu pada Januari 2021 dan permohonan kedua pada 28 Januari lalu.

Katanya, permohonan pertama tidak dapat diproses kerana semakan sistem e-bantuan mendapati wanita warga emas itu masih di bawah seliaan JKM Wilayah Persekutuan, namun bantuan ditamatkan.

"Setiap perpindahan terutama seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka memerlukan teruslah maklum dan kita boleh terus sambung (bantuan) walaupun perlu mohon semula.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata Pejabat MAIPK Daerah Hilir Perak menerima permohonan bantuan bulanan daripada suami Diwiyana pada 3 Februari ini.

Menurutnya, permohonan berkenaan sudah diproses dan sebagai tindakan awalan bantuan segera RM300 sudah disampaikan kepada wanita itu, hari ini.

Dr Wan Norashikin (dua kiri) melawat Selamah di Sungai Manik, hari ini. - Foto NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Dr Wan Norashikin (dua kiri) melawat Selamah di Sungai Manik, hari ini. - Foto NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI
Berita Harian X