Isnin, 14 Februari 2022 | 10:36am
Mohd Fasiah (tiga dari kanan) dan Saiful (dua dari kanan) ketika melawat projek kebun fertigasi Panching Selatan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Mohd Fasiah (tiga dari kanan) dan Saiful (dua dari kanan) ketika melawat projek kebun fertigasi Panching Selatan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

FAMA giat usaha tambah peserta agropreneur muda

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang berusaha menambah lebih ramai lagi golongan belia terbabit dengan projek agropreneur muda dalam bidang pertanian, makanan dan produk sejuk beku.

Pelbagai kemudahan disediakan kepada golongan berkenaan bermula di peringkat cadangan projek sehingga ke pemasaran, mereka akan dibimbing dalam memastikan usaha dilakukan berakhir dengan kejayaan.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri, berkata kini terdapat 18 individu berdaftar dengan FAMA di bawah program agropreneur muda dalam tempoh dua tahun membabitkan peserta lelaki dan perempuan.

Katanya, mereka terbabit dengan projek pengeluaran makanan seperti biskut, keropok lekor, daging perap, kerepek, kek dan sambal. Turut diusahakan tanaman melon dan terung, timun, petola serta bendi secara fertigasi.

Saiful berkata, mereka berdaftar sebagai usahawan agropreneur muda berpeluang menerima bantuan geran disediakan kerajaan yang ingin melihat golongan terbabit berjaya dalam bidang perniagaan sebagai pengeluar makanan.

"Tahun lalu, 14 usahawan agropreneur muda didaftarkan di negeri ini berbanding empat peserta pada 2020. Mereka menerima bantuan geran antara RM18,000 hingga RM20,000 dalam bentuk barangan alatan yang diperlukan.

"Tahun lalu, enam penerima geran terbabit terdiri daripada usahawan daerah ini diikuti dua di Jerantut dan Bentong serta masing-masing satu di Temerloh, Raub, Lipis dan Rompin," katanya selepas mengiringi lawatan Pengerusi FAMA, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh ke projek kebun fertigasi Panching Selatan, di sini semalam.

Beliau berkata, setiap tahun pihaknya memproses permohonan golongan belia yang ingin berdaftar sebagai usahawan agropreneur muda, penilaian di semua peringkat perlu dilakukan sebelum kelulusan dibuat.

"Saya berharap lebih ramai lagi golongan belia di negeri ini berani untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan sektor pengeluaran makanan dan pertanian kerana ia memberi pulangan yang menguntungkan.

"Mereka boleh bertemu dengan pegawai FAMA daerah dan negeri untuk berbincang sebelum memulakan projek, khidmat nasihat dan cadangan akan diberikan sebelum layak menerima pelbagai kemudahan," katanya.

Berita Harian X