Ahad, 13 Februari 2022 | 8:39am
Pegawai MUIP berkunjung ke rumah warga emas pada Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti Mukim Tebing Tinggi. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pegawai MUIP berkunjung ke rumah warga emas pada Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti Mukim Tebing Tinggi. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP santuni 60 warga emas, OKU lima kampung

JERANTUT: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengadakan pertemuan dengan 60 asnaf pada Program Cakna Asnaf Bersama Komuniti Mukim Tebing Tinggi, Jerantut di pekarangan Masjid Bukit Genting, semalam.

Program diadakan bagi melihat dan mendengar keluhan masalah dihadapi golongan yang mengalami masalah kesihatan, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata pada program yang julung kali diadakan itu, MUIP mengagihkan bantuan keperluan asas dan hasil produk syarikat pembayar zakat.

Menurutnya, menerusi program berkenaan maklumat asnaf diambil untuk penilaian bantuan yang sesuai diberikan, antaranya bantuan kewangan secara bulanan, bantuan bulanan keperluan asas dan bantuan kesihatan.

"Kita akan jadikan program cakna asnaf di setiap daerah di negeri ini dalam usaha mendekati golongan asnaf dan melihat masalah dihadapi seterusnya memberi bantuan diperlukan.

"Program menjadi antara cabang dakwah yang menjadi tanggungjawab MUIP," katanya yang bercadang mengadakan lebih banyak program keagamaan di kawasan luar bandar.

Program cakna asnaf dianjurkan Bahagian Agihan Zakat Ibu Pejabat MUIP, MUIP Cawangan Jerantut, Jengka dan Temerloh serta Penghulu Mukim Tebing Tinggi termasuk lima Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Tahun lalu MUIP mengagihkan bantuan zakat lebih RM170.9 juta kepada lapan asnaf dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, membina dan membaiki rumah serta program keagamaan.

Berita Harian X