Jumaat, 11 Februari 2022 | 3:37pm

Program NRW Kelantan dijangka siap Januari 2023

KOTA BHARU: Program Air Tanpa Hasil (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Kelantan yang bermula sejak Februari 2020 dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pelaksanaan program dengan kos RM69.1 juta itu membabitkan empat skop kerja termasuk penggantian dan pemasangan meter 'System Input Volume' (SIV) serta penukaran meter pengguna.

"Sebaik projek penggantian atau pembaikan tangki siap, peningkatan kapasiti storan sebanyak 31.2 juta liter akan memberi manfaat kepada 175,000 pengguna.

"Penukaran 56,000 meter air pula akan memberikan bacaan lebih tepat terhadap penggunaan air dan secara keseluruhan, program ini akan meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan kawalan NRW di Kelantan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan dan pemantauan kemajuan pelaksanaan satu daripada projek berkaitan di bawah Pakej 2 di Pasir Tumboh di sini yang juga termasuk dalam 53 lokasi penggantian atau pembaikan tangki.

Tuan Ibrahim berkata, projek NRW itu sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan ia membabitkan jajahan Kota Bharu, Tumpat, Machang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

"Pada masa ini, kerja pembinaan sedang giat dilaksanakan dan kemajuan fizikal semasa projek adalah 37 peratus.

"Tangki ini dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan tahun ini dan siap sepenuhnya Januari 2023," katanya.

Sebagai perancangan jangka panjang, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang dengan sasaran penggunaan 500 juta liter sehari.

Beliau berkata, cadangan itu sudah diluluskan dan kini pada peringkat kajian yang dijangka mengambil masa lebih 36 bulan untuk siapkan kerangka kajian.

"Cadangan pembinaan TAPS itu membabitkan antara yang besar kapasitinya yang mana sumber air akan diambil dari Sungai Kelantan yang perlu dijalankan pemendapan sebelum diproses di loji.

"Kita juga dalam perancangan membina satu lagi loji baharu di Pasir Puteh dengan jangkaan kapasiti penggunaan 30 juta liter sehari dan setakat ini, daerah itu menerima bekalan air dari Terengganu kira-kira 10 juta liter sehari.

"Penggunaan sekarang adalah lima juta liter sehari dan apabila siap projek pembangunan di Tok Bali nanti, dijangka meningkat kepada 10 juta liter sehari dan sebahagiannya akan disalurkan ke Bachok," katanya.

 Tuan Ibrahim (tengah) melihat maklumat dipamerkan ketika lawatan beliau ke Program NRW hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tuan Ibrahim (tengah) melihat maklumat dipamerkan ketika lawatan beliau ke Program NRW hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X