Ahad, 23 Januari 2022 | 12:04pm
Sukarelawan Skuad Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (MADAD) mengagihkan sushi dan makanan lain kepada gelandangan sekitar Sungai Petani. - NSTP/IZAD THAQIF HASSAN
Sukarelawan Skuad Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (MADAD) mengagihkan sushi dan makanan lain kepada gelandangan sekitar Sungai Petani. - NSTP/IZAD THAQIF HASSAN

Hang Cangkul penuhi hajat gelandangan makan sushi

SUNGAI PETANI: Selama ini, biasanya gelandangan di sini hanya menjamah apa sahaja makanan, sama ada dihulurkan orang ramai atau dibeli sendiri, namun sesekali ada antara mereka teringin menikmati juadah lazat seperti insan lain.

Hajat mereka tercapai jua apabila sukarelawan Skuad Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (MADAD) menunaikan keinginan golongan gelandangan terbabit yang selama ini hanya terpendam.

Ketua Operasinya, Muhammad Ridzuan Osman, berkata hatinya tersentuh apabila ada gelandangan mengadu yang mereka tidak pernah menjamah sushi dan ingin sekali merasainya.

Menurutnya, hasrat itu disampaikan beberapa gelandangan yang ditemui sebelum ini ketika dia bersama isteri, Nur Afifah Habib dan sukarelawan lain mengedar makanan kepada gelandangan beberapa minggu lalu.

"Ketika itu, Nur Afifah mengikut saya dan pasukan mengedar makanan percuma kepada gelandangan dan secara kebetulan isteri ketika itu baru habis kerja di kedai sushi, masih memakai baju tertera gambar sushi di tempatnya bekerja. Ada gelandangan menegur, bertanya bagaimana rasa sushi kerana dia tidak pernah menjamahnya," katanya.

Mendengarkan pertanyaan itu, hatinya dan isteri amat tersentuh sebelum mereka memutuskan untuk mengedarkan sushi kepada golongan gelandangan terbabit, selain susu segar, sate dan nasi goreng.

"Alhamdulillah, mereka cukup gembira dan berulang kali berterima kasih kepada pasukan sukarelawan Hang Cangkul kerana mendakwa dapat merasa menu yang selama ini menjadi idaman. Mungkin mereka juga sudah jemu dengan makanan diberikan selama ini, sesekali teringin ubah selera mencuba menu berlainan kerana tidak pernah menjamahnya," katanya.

Gelandangan hanya mahu dikenali sebagai Mary, 40, yang bersama suami dan bapa saudara menumpang teduh dalam kereta buruk selepas keluar dari kuarters kerana tidak lagi bekerja di sebuah ladang, berkata mereka sukar mendapatkan rumah sewa berikutan suami tiada kerja tetap, selain status bapa saudaranya sebagai bekas banduan.

"Status bapa saudara menyukarkan tuan rumah untuk percaya. Disebabkan banyak halangan, kami hanya mengambil upah menjaga tempat letak kereta dan tinggal dalam kenderaan buruk sahaja biarpun tidak selesa. Berapa sangat gaji diperoleh dan jika bernasib baik, dapat duit bolehlah kami beli makanan untuk mengalas perut," katanya.

Berita Harian X