Isnin, 17 Januari 2022 | 8:13am
Ibrahim menunjukkan rekod dalam kad derma darah beliau. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ibrahim menunjukkan rekod dalam kad derma darah beliau. - NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI

Tragedi nahas cetus kesedaran derma darah

KOTA BHARU: Selepas kali pertama menderma darah demi menyelamatkan nyawa sahabat yang parah akibat nahas kira-kira 25 tahun lalu, Ibrahim Mat Taib terus aktif membantu masyarakat melalui bakti tersendiri itu dengan merekodkan 166 kali menderma darah hingga kini.

Bagi Ibrahim, 53, inisiatif itu dilakukan secara sukarela atas kesedaran tercetus daripada tragedi kemalangan pada 1997, dan bukan untuk 'mengejar' anugerah mahupun penghargaan daripada sesiapa.

Menceritakan lanjut kejadian itu, beliau berkata, motosikal ditunggang sahabatnya dikenali sebagai Wan Zulkifli Wan Kassim telah berlanggar dengan sebuah kereta.

"Akibatnya, sahabat saya itu mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan dan kehilangan banyak darah. Namun, doktor memberitahu kebetulan kekurangan stok darah yang diperlukannya ketika itu.

"Itulah kali pertama saya menderma darah demi menyelamatkan sahabat yang sedang bertarung nyawa," katanya yang memiliki darah jenis O, ketika ditemui pada Program Jom Derma Darah, di sini, baru-baru ini.

Berikutan itu, Ibrahim berkata, beliau terus bersemangat menderma darah hingga kini, malah menyasarkan untuk mencapai 200 kali sebelum mencapai usia 58 tahun.

Justeru setiap bulan, beliau akan dua kali menderma darah di hospital atau melalui penganjuran kempen di sekitar Kota Bharu.

"Kadang-kadang kalau tidak pergi menderma darah, saya berasa seolah-olah berhutang, tidak selesa dan seperti 'ketagih' untuk menderma darah.

"Walaupun sudah berusia kini, berkat aktiviti menderma darah secara berkala membantu saya tiada menghidap penyakit kronik. Setakat ini, saya masih dikurniakan kesihatan baik.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berpeluang membantu menyelamatkan mereka yang memerlukan sumbangan darah, dengan izin Allah SWT," katanya.

Berita Harian X