Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:26pm
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (kiri) menunjukkan pelan perarakan pedati emas dan perak bagi sambutan Thaipusam bermula Isnin hingga Rabu ini pada sidang media di Tingkat 6, Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Georgetown. - NSTP/Mikail Ong
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (kiri) menunjukkan pelan perarakan pedati emas dan perak bagi sambutan Thaipusam bermula Isnin hingga Rabu ini pada sidang media di Tingkat 6, Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Georgetown. - NSTP/Mikail Ong

1,300 Polis Pulau Pinang terbabit pantau SOP Thaipusam

GEORGETOWN: Seramai 1,300 anggota dan pegawai Polis Pulau Pinang akan bertugas bagi memantau dan memastikan sambutan upacara Thaipusam bermula 17 hingga 19 Januari di sini, berjalan lancar dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tugasan itu turut membabitkan bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 70 anggota dan pegawai polis juga terbabit ketika perarakan dua pedati bagi memastikan keselamatan orang awam dan penganut di lokasi.

Katanya, Pedati Emas dan Pedati Perak akan berhenti di tujuh hentian bagi upacara keagamaan bermula di Lebuh Queen ke Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani, Jalan Kebun Bunga, di sini.

"Pihak kuil juga mengambil inisiatif dengan menempatkan sejumlah sukarelawan di sekitar kawasan kuil bagi memastikan penganut patuh kepada jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Turut sama ialah bantuan dari Majlis Bamdaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beberapa jalan juga ditutup pada tarikh berkenaan bagi laluan Pedati Emas yang bermula pada jam 6 pagi diikuti Pedati Perak sejam kemudian.

Soffian berkata, penutupan jalan itu membabitkan lokasi pedati berkenaan bermula iaitu Lebuh Queen, Jalan Gottlieb, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun, Jalan Datuk Seri Ramanathan, Lebuh raya Rose, Jalan Wright dan Jalan Kebun Bunga.

Katanya, sebelum ini pergerakan pedati mengambil masa selama 20 jam namun polis dimaklumkan oleh pihak pengurusan kuil bahawa ia akan mengambil masa antara lapan atau sembilan jam sekiranya tiada halangan.

"Begitu juga perarakan pulang Pedati Emas dan Pedati Perak pada 19 Januari, masing-masing pada jam 6 dan 7 petang.

"Kita juga menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya bertoleransi serta bertolak ansur atau menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa membabitkan acara 'kavadi' bagi perayaan Thaipusam kali ini dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X