Rabu, 5 Januari 2022 | 7:54pm
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama seorang wanita melakukan ritual bagi menolak berlaku banjir di Teluk Intan. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama seorang wanita melakukan ritual bagi menolak berlaku banjir di Teluk Intan. - Foto ihsan pembaca

Ritual tolak musibah banjir, JAIPk buka kertas siasatan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuka kertas siasatan berhubung video ritual menolak musibah banjir, dipercayai dilakukan di Dataran JPS Teluk Intan, seperti tular di media sosial, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.

"JAIPk akan buka kertas siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi amalan khurafat dan masyarakat juga dimohon tidak terpengaruh (dalam perkara yang menjurus kepada khurafat)," katanya, di sini, hari ini.

Video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama wanita melakukan ritual bagi menolak berlaku banjir.

Mereka menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun, selain turut kelihatan di hadapan mereka, surah Yasin dan al-Quran.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan mendakwa upacara adalah petua zaman dahulu dan mengharapkan semua tempat surut air (tidak banjir) bukan sahaja di Teluk Intan tetapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia.

Dia mendakwa apa yang dilakukan adalah sebagai ikhtiar dan turut meminta tidak salah faham kerana mereka tidak memuja laut dan sungai, sebaliknya hanya mengamalkan petua zaman dahulu.

Sementara itu, wanita berkenaan turut mendakwa tilikannya menunjukkan Teluk Intan akan ditenggelami banjir dan apa yang dilakukan bagi mengelak musibah bencana.

Berita Harian X