Rabu, 5 Januari 2022 | 12:29pm

122 anggota Senoi Praaq derma darah

BIDOR: Seramai 122 anggota Senoi Praaq menderma darah sempena Program Derma Darah di Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor dekat sini, hari ini.

Program anjuran Batalion 3 PGA Bidor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Hospital Teluk Intan, Perak.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Azhar Hashim, berkata program berkenaan dijalankan selama dua hari dan kali kedua pada 12 Januari ini.

Beliau berkata, program dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada anggota dan orang awam mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.

"Penderma darah boleh membantu mengisi tabung darah di hospital berkenaan, selain menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

"Kita sedia maklum, negeri yang terbabit dengan musibah banjir sudah tentu tidak dapat menjalankan program seperti ini bagi mengisi tabung darah negara," katanya ketika ditemui hari ini.

Program itu membabitkan 12 kakitangan Jabatan Kesihatan, Hospital Teluk Intan diketuai Pegawai Perubatan Unit Transfusi Darah, Muhamad Abdullah Khalid.

Azhar berkata, pihaknya mahu pegawai dan anggota serta ahli keluarga Senoi Praaq didedahkan dengan aktiviti menderma darah supaya timbul rasa tanggungjawab terhadap kepentingan awam.

"Program ini akan dijadikan aktiviti berjadual tanpa gagal pada masa depan supaya semangat menderma darah terus subur dalam kalangan anggota Senoi Praaq dan ahli keluarga," katanya.

Azhar (kiri) dan Muhamad Abdullah (kanan) bersama seorang daripada 122 anggota PGA yang menderma darah pada Program Derma Darah anjuran Batalion 3 PGA Bidor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Hospital Teluk Intan di Batalion 3 PGA Bidor, hari ini. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Azhar (kiri) dan Muhamad Abdullah (kanan) bersama seorang daripada 122 anggota PGA yang menderma darah pada Program Derma Darah anjuran Batalion 3 PGA Bidor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Hospital Teluk Intan di Batalion 3 PGA Bidor, hari ini. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Berita Harian X