Isnin, 27 Disember 2021 | 1:10pm

Afiq Aryan pekebun cilik

SLIM RIVER: Penangguhan pembukaan sekolah memberi lebih banyak masa kepada seorang murid pra sekolah meneruskan aktiviti berkebun di halaman dan belakang rumahnya di Taman Slim Permata, di sini.

Murid pra sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Muhammad Afiq Aryan Rosman, 6, memanfaatkan masa cuti sekolah terutama pada waktu pagi dan petang dengan berkebun.

Tanaman kangkung yang beliau usahakan sebelum ini habis dituai dan kini beliau menanam semula di samping menikmati hasil tanaman bendi di belakang rumahnya.

Afiq Aryan berkata, menjadi rutin pada waktu pagi dan petang ke halaman dan belakang rumah untuk menyiram, membaja, menggemburkan tanah dan mengutip hasil tanaman.

Beliau berkata, keadaan cuaca yang semakin baik memudahkan beliau menjaga dan menanam sayuran jika dibandingkan sebelum ini hujan turun tidak henti-henti menyebabkan sayuran yang ditanam menjadi rosak.

"Cuti ini memang ada kerja sekolah yang cikgu berikan tetapi biasanya saya akan buat selepas selesai berkebun.

"Saya tetap memilih tanaman sayur kangkung kerana ia mudah ditanam dan dijaga hanya perlu menyiram mengikut masa kerana kangkung perlukan lebih air," katanya.

Katanya, hasil tanaman kangkung di belakang rumah bakal dituai pada minggu hadapan dan beliau akan meneruskan aktivitinya dengan bersedekah kepada jiran berdekatan.

" Kangkung yang baharu ditanam di halaman rumah sekurang-kurangnya mengambil masa dua minggu kerana ia baru ditanam seminggu yang lalu.

"Setakat ini, bendi yang ditanam sudah mengeluarkan hasil dan saya gembira apabila dapat petik sendiri," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari dan 3 Januari 2022 ditangguhkan selama seminggu dan akan bermula pada 9 Januari dan 10 Januari 2022 bagi kumpulan A dan kumpulan B.

Murid pra Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Muhammad Afiq Aryan Rosman memanfaatkan cuti sekolah sambil memetik hasil tanaman bendi di belakang rumah dekat Taman Slim Permata, Slim River. - Foto ROSMAN SHAMSUDIN
Murid pra Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Muhammad Afiq Aryan Rosman memanfaatkan cuti sekolah sambil memetik hasil tanaman bendi di belakang rumah dekat Taman Slim Permata, Slim River. - Foto ROSMAN SHAMSUDIN
Berita Harian X