Selasa, 7 Disember 2021 | 2:23pm
 Mohd Zurairie melawat PKRC di USM Kubang Kerian di Kota Bharu.
Mohd Zurairie melawat PKRC di USM Kubang Kerian di Kota Bharu.

Kelantan cadang kekal 4 PKRC

KOTA BHARU: Kelantan bercadang untuk mengekalkan empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir, berkata empat PKRC berkenaan adalah di Kota Bharu yang keseluruhan mampu memuatkan hampir 500 pesakit.

Katanya, PKRC berkenaan adalah PKRC Tanjong Chat, Dewan Jubli Perak, Gelanggang Seni dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Di Kelantan walaupun PKRC banyak, ia berskala kecil dan hanya mampu memuatkan lebih 100 pesakit.

"Justeru, berhubung cadangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

yang mahu mengekalkan satu PKRC di setiap negeri yang mampu memuatkan 500 pesakit, ia tidak dapat dilakukan dengan hanya satu PKRC memandangkan tidak mempunyai lokasi berskala besar.

"Jika mahu dikekalkan untuk kapasiti 500 orang, kita mencadangkan empat PKRC, iaitu dua untuk pesakit perempuan dan dua lagi untuk pesakit lelaki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata sekurang-kurangnya satu PKRC dengan kapasiti 500 orang akan dipastikan kekal beroperasi di setiap negeri.

Beliau berkata, kebanyakan premis yang dijadikan PKRC sebelum ini sudah memohon untuk menamatkan perkhidmatan seperti institut latihan awam dan hotel bagi menjalankan operasi dan perniagaan seperti biasa.

Berita Harian X