Jumaat, 26 November 2021 | 10:02am
Universiti Putra Malaysia. - Foto fail NSTP
Universiti Putra Malaysia. - Foto fail NSTP

UPM anjur Forum Kesedaran Pendidikan Kewarganegaraan Global

KUALA LUMPUR: Wacana Intelektual Perdana Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengadakan Forum Kesedaran Pendidikan Kewarganegaraan Global mulai esok bagi menyebarkan kesedaran dalam kalangan pendidik mengenai Pendidikan- Kewarganegaraan Global (GCED).

Pengerusi program, Prof Madya Dr Ku Hasnita Ku Samsu, berkata GCED menjadi antara kaedah terbaik bagi mendidik masyarakat untuk menangani perkara yang boleh menggugat keamanan dunia.

Justeru, katanya, forum itu akan membantu mempromosikan budaya keamanan sejagat supaya pendidik terdiri guru, guru pelatih dan pensyarah akan dapat menyebarkan elemen yang berkaitan dengan pendidikan kewarganegaraan global kepada pelajar.

"Forum selama dua hari ini membabitkan tiga sesi perbincangan panel berdasarkan tema keganasan global, penyebaran berita palsu dan pembinaan keamanan.

"Tema keganasan global mencakupi perbincangan mengenai isu kezaliman dan kebencian, ekstremisme dan peranan pendidik dalam menangani isu keganasan global," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu berkata, tema penyebaran berita palsu akan memfokuskan kepada cabaran dan trend penyebaran berita palsu mengenai pandemik COVID-19 di peringkat tempatan dan global.

Katanya, perbincangan juga akan menjurus kepada peranan pendidik dalam menangani penyebaran berita palsu.

"Tema pembinaan keamanan pula akan menekankan aspek berkaitan dengan keharmonian dalam konteks Malaysia dan global serta peranan pendidik dalam memupuk keharmonian di peringkat tempatan dan global.

"Selain itu, strategi untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat pelbagai etnik dan masyarakat aneka-kepelbagaian dengan kehadiran pelbagai warga asing di Malaysia turut dikupas," katanya.

Ku Hasnita berkata, forum berkenaan ditaja sepenuhnya oleh Asia-Pacific Centre of Education for International Understanding (APCEIU), Korea Selatan.

Katanya, APCEIU adalah sebuah agensi di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mempromosi dan membangunkan pendidikan untuk Kefahaman Antarabangsa (EIU) dan Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) dengan negara anggota UNESCO.

"Forum ini turut mendapat kerjasama Global Citizenship Education Cooperation Centre USM (GCC-USM); Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas; IPG Kampus Pendidikan Islam; Persatuan Guru-Guru Teknik dan Vokasional Malaysia serta Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Selangor.

"Saya berharap pengisian forum ini dapat memberi kesedaran kepada peserta mengenai budaya keamanan di peringkat tempatan dan global serta bermotivasi untuk menyebarkan informasi berkaitan kewarganegaraan global kepada pelajar mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, golongan pendidik juga akan lebih memahami peranan mereka untuk memupuk kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan memelihara keamanan dan keharmonian di peringkat tempatan dan global," katanya.

Berita Harian X