Isnin, 13 September 2021 | 4:26pm
Merentas daerah masih belum dibenarkan di Sabah. - Foto hiasan BERNAMA
Merentas daerah masih belum dibenarkan di Sabah. - Foto hiasan BERNAMA

Notis lama tersebar semula

KOTA KINABALU: Polis menjelaskan notis kebenaran rentas daerah negeri ini dan kapasiti kenderaan yang tular adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdulllah, berkata Sabah masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang tidak membenarkan merentas daerah.

Katanya, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk membabitkan tujuan kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin COVID-19 dan perkhidmatan perlu.

"Pergerakan rentas daerah juga dibenarkan untuk pasangan jarak jauh, dan ibu bapa yang ingin melawat anak bawah umur 18 tahun.

"Pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap divaksin dibenarkan keluar di dalam daerah sama berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, polis mendapati notis berkenaan ialah notis lama bertarikh 6 Mei 2020 dan disebarkan semula oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, orang ramai tidak wajar menyebarkan berita atau kenyataan tidak sahih dan palsu.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntuk denda maksimum RM50,000 dan penjara setahun.

Berita Harian X