Khamis, 5 Ogos 2021 | 12:07am
Mendiang Datuk Kee Phaik Cheen. - Gambar NSTP
Mendiang Datuk Kee Phaik Cheen. - Gambar NSTP

Bekas EXCO Pulau Pinang meninggal dunia selepas sembuh daripada COVID-19

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Wanita Gerakan, Datuk Kee Phaik Cheen, 74, yang juga personaliti pembangunan pelancongan dan seni Pulau Pinang, meninggal dunia akibat komplikasi selepas sembuh daripada COVID-19, hari ini.

Mendiang yang juga bekas exco kebudayaan, seni, pelancongan dan pembangunan wanita daripada 1990 hingga 2004, sebelum ini sudah lebih sebulan dirawat di hospital swasta di Pulau Pinang kerana disahkan positif virus itu pada hujung Jun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 2.40 petang oleh suaminya, Dr Choong Sim Poey dalam kenyataan, hari ini.

"Saya memegang tangannya pada saat terakhirnya. Tiada ubat atau mesin yang dapat menolongnya.

"Saya bercakap dengannya dan memberitahunya tentang beratus-ratus rakan yang mengharapkannya sembuh," katanya.

Sim Poey turut memaklumkan majlis pengebumian akan dihadkan untuk keluarga dan rakan rapat, susulan sekatan pergerakan yang sedang dilaksanakan.

Phaik Cheen yang juga bekas Naib Pengerusi Tourism Malaysia, berperanan penting dalam meningkatkan profil Pulau Pinang dalam bidang warisan, budaya, seni dan makanan.

Beliau berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban daripada 1986 hingga 2004.

Berita Harian X