Khamis, 8 April 2021 | 11:15am
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

Ramadan: Johor benarkan solat tarawih ketika PKPB

JOHOR BAHRU: Pengimarahan masjid dan surau di negeri ini, termasuk pelaksanaan solat tarawih ketika Ramadan, dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata pelaksanaan solat tarawih hendaklah mengutamakan jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, dengan 20 rakaat diikuti solat sunat witir tiga rakaat.

Selain itu, beliau berkata, imam bertugas bagi solat tarawih hendaklah membaca surah lazim saja pada setiap rakaat selepas bacaan surah Al-Fatihah.

"Kebenaran ini berkuat kuasa sepanjang tempoh Ramadan, bermula 13 April ini hingga ada ketetapan lain ditentukan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sepanjang tempoh PKPB, program tadarus al-Quran dilaksanakan tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid mahupun surau.

"Majlis khatam al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam 30 minit, manakala program kuliah dan ceramah dibenarkan tidak melebihi satu jam," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Namun, Yahya berkata, kuliah sebelum atau selepas solat tarawih adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid mahupun surau pula dibenarkan di kawasan khusus dengan juadah hendaklah dibungkus, namun tidak dibenarkan secara bufet atau layan diri.

"Bagi majlis tertentu seperti jamuan berhidang, dibenarkan untuk bilangan 50 jemaah saja di ruang yang ditetapkan.

"Kegiatan memasak di dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, program agihan bubur lambuk di dalam kawasan masjid dan surau adalah dibenarkan.

"Majlis qiamullail di masjid mahupun surau adalah dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh, namun jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam premis itu," katanya.

Berita Harian X