Khamis, 4 March 2021 | 5:07pm
Anggota bomba di Selangor akan menerima suntikan pelalian COVID-19 bermula 16 Mac ini. Foto BERNAMA
Anggota bomba di Selangor akan menerima suntikan pelalian COVID-19 bermula 16 Mac ini. Foto BERNAMA

Bomba sasar 80 peratus anggota divaksin di Selangor

KUALA LANGAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangka 80 peratus dari 1,689 pegawai dan anggota di Selangor yang bertugas di lapangan divaksin bagi mencegah COVID-19, pada peringkat awal.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata proses pelalian akan dipercepat kerana setiap hari anggotanya berhadapan dengan pelbagai kumpulan individu ketika menyelamat.

"Sekurang-kurangnya pada peringkat awal ini, kita mahu 80 peratus divaksin kerana mereka ini betul-betul terbabit dengan operasi dan terdedah kepada COVID-19. Selebihnya, petugas di pejabat akan divaksin mengikut fasa ditetapkan.

"Sebelum ini, ada mangsa positif COVID-19 yang dibantu bomba. Itu menjadi ancaman kepada anggota kita.

"Saya juga sudah maklum kepada semua pegawai dan anggota terutamanya barisan hadapan ini jangan mudah terpengaruh dengan antivaksin. Suka atau tidak, kita perlu divaksin. Kita tidak mahu bomba jadi pembawa penyakit," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

Norazam berkata, seramai 895 nama pegawai dan anggota diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk divaksin.

Katanya, 170 daripada mereka sudah ditetapkan tarikh suntikan bagi fasa pertama.

"Mereka akan disuntik secara berperingkat bermula 16 Mac ini sehingga awal April ini," katanya.

Berita Harian X